Dunia

UK bakal uji pil perancang untuk lelaki

Jika ujian itu berjaya, pil harian itu boleh meluaskan tanggungjawab bersama untuk kontraseptif antara jantina

LONDON 15 Dis – Seramai 16 lelaki di United Kingdom menjadi kumpulan pertama di dunia untuk menjalani ujian klinikal bagi menguji pil perancang lelaki bebas hormon baharu, YCT-529.

Percubaan fasa pertama sedang dijalankan Quotient Sciences, sebuah syarikat pembangunan ubat yang berpangkalan di Nottingham.

Saintis berharap, jika ujian itu berjaya, pil harian itu boleh meluaskan tanggungjawab bersama untuk kontraseptif antara jantina.

Pakar YourChoice Therapeutics berkata, kajian praklinikal menunjukkan YCT-529 99 peratus berkesan dan 100 peratus boleh ‘diterbalikkan’ tanpa kesan sampingan.

Syarikat itu berkata, pil perancang untuk lelaki versi terdahulu cuba ‘menekan’ testosteron hormon seks lelaki untuk menghalang pengeluaran sperma.

Namun, ia tidak menghentikan pengeluaran sperma sepenuhnya dan dikaitkan dengan beberapa komplikasi.

Profesor di Kolej Farmasi Universiti Minnesota, Gunda Georg yang membangunkan pil baharu itu berkata, inovasi terakhir dalam kontraseptif ialah pil perancang untuk wanita yang dilaksanakan lebih 60 tahun lalu.

“Dunia sudah bersedia untuk ‘agen’ (pil) perancang lelaki.

“Memberikan pil bebas hormon adalah perkara yang betul untuk dilakukan memandangkan kesan sampingan dialami wanita selama beberapa dekad daripada pil.

“Kami memilih untuk menghalang laluan isyarat vitamin A dalam testis kerana hampir 100 tahun penyelidikan mengesahkan laluan ini dan menunjukkan ketidaksuburan boleh diterbalikkan dengan mudah,” katanya.

Katanya, data praklinikal kukuh mereka menunjukkan YCT-529 99 peratus berkesan dalam mencegah kehamilan tikus dan mengurangkan jumlah sperma pada monyet, selepas pemberian dos selama dua minggu.

“YCT-529 juga menunjukkan profil keselamatan kukuh dan kebolehbalikan penuh pada tikus dan monyet sebaik sahaja rawatan tamat.

“Saya memuji pasukan YourChoice Therapeutics kerana membawa calon ini ke klinik dan berasa yakin dengan profil keselamatannya yang akan disahkan kajian fasa pertama,” katanya.

Pada masa ini, lelaki hanya boleh menggunakan kondom atau menjalani vasektomi, manakala terdapat pelbagai jenis kontraseptif untuk wanita termasuk pil, gegelung, suntikan kontraseptif dan penggunaan diafragma atau kondom wanita.

Pil lelaki baharu YCT-529, ubat yang dipanggil perencat reseptor-alfa asid retinoik, yang menghalang pengeluaran sperma dengan menyekat akses kepada vitamin A.

Kajian terdahulu sejak lebih 90 tahun menunjukkan tikus dan monyet tidak mendapat vitamin A boleh menyebabkan ketidaksuburan. – Agensi

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button