BeritaDunia

UK denda Volkswagen £5.4 juta atas layanan buruk terhadap pelanggan

LONDON: Sebuah badan pengawal selia di UK hari ini mengumumkan bahawa ia telah mendenda sebuah bahagian syarikat kereta gergasi Jerman, Volkswagen, sebanyak £5.4 juta (AS$7 juta) atas layanannya terhadap pelanggan yang menghadapi kesukaran kewangan.

Volkswagen Financial Services (UK) juga telah bersetuju untuk membayar lebih daripada £21.5 juta, yang akan dikongsi di kalangan kira-kira 110,000 pelanggan, selepas Pihak Berkuasa Kelakuan Kewangan (FCA) mendapati ia gagal melayan pelanggan yang menghadapi masalah kewangan secara adil.

FCA menyatakan bahawa antara tahun 2017 hingga pertengahan 2023, Volkswagen Finance gagal mengambil kira keadaan individu pelanggan atau memberikan sokongan yang disesuaikan dengan keperluan mereka.

“Ini bermakna, dalam beberapa kes, Volkswagen Finance telah mengambil kereta daripada pelanggan yang terdedah tanpa mempertimbangkan pilihan lain.”

Ini menimbulkan risiko kepada orang ramai yang mungkin berada dalam keadaan lebih buruk, terutamanya jika mereka bergantung kepada kereta mereka untuk pergi bekerja, kata FCA dalam satu kenyataan.

Volkswagen Financial Services hari ini mengakui terdapat kelemahan dan memohon maaf kepada mereka yang terjejas.

“Kami mengakui kekurangan kami dalam kes-kes terdahulu dan telah membuat penyesuaian yang ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk memastikan kami sentiasa memberikan tahap perkhidmatan yang betul,” katanya dalam kenyataan berasingan.

“Kami sedang dalam proses menamatkan usaha pemulihan kami sambil terus memberikan bayaran ihsan kepada pelanggan yang terjejas dan memohon maaf atas sebarang kerugian yang disebabkan,” tambahnya.

Artikel Berkaitan

Back to top button