Berita

Umat Islam diseru solat hajat, baca doa qunut nazilah untuk keselamatan Gaza

Langkah itu susulan serangan udara yang dilakukan Israel di di Semenanjung Gaza sehingga mengorbankan lebih 160 orang rakyat Palestin dan 931 lagi cedera hari ini

KUALA LUMPUR 8 Oct – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggesa umat Islam di negara ini menunaikan solat hajat, membaca doa qunut nazilah dan bermunajat untuk keselamatan umat Islam di Gaza.

Langkah itu susulan serangan udara yang dilakukan Israel di di Semenanjung Gaza sehingga mengorbankan lebih 160 orang rakyat Palestin dan 931 lagi cedera hari ini.

Abdul Hadi berkata, umat Islam juga perlu mengadakan ‘Himpunan Solidariti bersama al-Quds’ sebagai bantahan terhadap tindakan zalim Israel yang merampas tanah bumi Palestin.

“PAS mengikuti secara dekat pertempuran yang berlaku antara Palestin dan Israel yang bermula hari ini.

“Serangan besar-besaran dilancarkan oleh Hamas dan Jihad Islami dalam ‘Operasi Taufan Al-Aqsa’ selepas berlakunya ketegangan selama beberapa minggu di sempadan Gaza-Israel,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Israel dihujani serangan roket dari Semenanjung Gaza yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Tentera Israel mendakwa, kumpulan pejuang melancarkan lebih 2,000 roket dan berpuluh-puluh pejuang Palestin menyusup ke kawasan sempadan di selatan Israel, lapor Sputnik.

Susulan itu, tentera Israel melakukan ‘pembersihan’ di kawasan berpenduduk dan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengumumkan pelancaran Operasi Pedang Besi terhadap Hamas di Semenanjung Gaza.

Agensi berita Al-Jazeera melaporkan, seramai 40 penduduk Israel pula terbunuh, manakala angka mereka yang tercedera susulan serangan awal oleh pejuang Hamas dan Briged Al-Qassam pada pagi tadi mencecah  750 orang. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button