UMNO adalah sebuah parti perjuangan dan bukan sekadar parti politik – Khaled

Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beluran yang berlangsung baru-baru ini telah dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin.
Pada majlis itu Khaled menegaskan komitmen parti terhadap perjuangan yang berterusan. Dalam ucapan yang disampaikan, pemimpin tersebut menegaskan bahawa UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi sebuah entiti perjuangan yang mengutamakan kebajikan dan pembangunan bangsa.
“Sudah menjadi lumrah dalam sebuah perjuangan, adakala kita menang dan adakalanya kita kalah. Akan ada masa pasang dan surut. Tetapi perjuangan melalui UMNO tetap akan diteruskan kerana keberadaan kita ini tidak bergantung kepada keputusan pilihan raya. Melompat bila kalah. Datang bila menang. Kita bersama UMNO atau membuat sesuatu pendirian kerana kita kasih dan sayang kepada bangsa, kita ingin berbakti dan mahu membina bangsa yang mandiri. Dan ini lebih mudah dilakukan jika kita mempunyai kuasa” ujar Khaled.
Beliau juga mengakui hakikat bahawa UMNO perlu menerima kritikan dan menghadapi cabaran, termasuk kegagalan dalam Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Bakap. “Pengundi menolak calon Kerajaan Perpaduan atas faktor kenaikan kos sara hidup dan isu tarif serta bekalan air di Pulau Pinang. UMNO menyokong inisiatif subsidi bersasar untuk mengendalikan harga diesel, tetapi perlu lebih bijak dalam mengelola kesannya terhadap harga barang.”
Dalam menghadapi masa depan, Khaled menyeru semua perwakilan dan ahli UMNO Beluran untuk bersatu padu, menarik lebih ramai orang muda ke dalam parti, dan meningkatkan kerjasama dengan NGO tempatan. Usaha ini diharapkan dapat memperkukuh UMNO Beluran dan membantu mencapai kemenangan di Sabah.