Politik

UMNO akan terkubur jika bekerjasama dengan PAS

Perkara itu dinyatakan Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Pas dirasakan sukar memberikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen kepada UMNO pada pilihan raya akan datang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi ( MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ketiadaan kerusi yang diberikan untuk bertanding di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis itu akan menyukarkan UMNO berkembang dan seterusnya terkubur.

“Sekiranya UMNO dan Pas bekerjasama semula, berapa kerusi UMNO boleh dapat di Terengganu?, Tiada…kerana semua kerusi DUN dan Parlimen milik mereka.

“Oleh itu, saya berpandangan jika UMNO berada bersama Pas akan timbul masalah dari segi hendak mengagihkan kerusi kepada UMNO yang seterusnya mungkin mengakibatkan UMNO terkubur,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan I berkata demikian ketika mengadakan tinjauan ke tapak projek Kolej Komuniti Parlimen Pontian di Kampung Parit Haji Abdul Rahman, Benut di sini, pada Jumaat.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu menambah, UMNO berpeluang menang di kawasan yang ditandingi Pas sekiranya tidak bersama parti itu.

“Jika UMNO tidak bersama Pas, pastinya kita boleh bertanding di tempat mereka dalam tempoh empat tahun lagi pada pilihan raya akan datang.

“UMNO boleh ambil alih Parlimen dan DUN sekiranya mereka tidak menjalankan tugas dan harapan rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu Pas pernah menyebut mahu menggantikan UMNO sebagai parti membela orang Melayu dan Islam sebelum ini.

“Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak pernah sebut hendak menggantikan UMNO begitu juga dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( Bersatu) pun ada sebut perkara itu.

“Perkataan mengganti UMNO itu merupakan persaingan yang tahan antara UMNO, Pas dan Bersatu,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Mursyidul Am Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata kerjasama semula Pas dan UMNO merupakan satu usaha yang baik namun menjadi cabaran kepada parti itu.

Beliau memberitahu, Pas suatu ketika dahulu pernah ‘menyelamatkan’ UMNO dan menjadi satu perkara positif jika semua pihak tahu pentingnya perpaduan antara Melayu dan Islam.

Sebelum ini media melaporkan Pas tidak menolak untuk bekerjasama semula dengan UMNO di sebalik sejarah ‘pahit’ hubungan kedua-dua parti sebelum ini. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button