Politik

UMNO alami perubahan, 54 muka baharu dipilih Ketua Bahagian

KUALA LUMPUR 19 Mac – Jawatankuasa Pemilihan UMNO mendedahkan pemilihan parti kali ini menyaksikan perubahan pucuk pimpinan di peringkat bahagian, membabitkan 54 muka baharu dari seluruh negara.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, sebanyak 10 dari 26 UMNO Bahagian di Johor yang melakukan perubahan pucuk pimpinan tersebut semalam.

Beliau berkata, perubahan itu menunjukkan UMNO semakin dinamik dan perwakilan kini semakin berani melakukan perubahan mengikut saluran yang betul.

“Terdapat 54 muka baharu di peringkat Ketua Bahagian, menunjukkan bagaimana dinamiknya perubahan politik dalaman UMNO itu sendiri bila kita mengadakan pemilihan.

“Kesemua 54 Ketua Bahagian ini merupakan 29 peratus daripada jumlah bahagian (dari seluruh negara).

“Ia bukan hanya berlaku di satu negeri sahaja, bahkan ia juga berlaku secara keseluruhan (negara),” katanya.

Selain Johor, turut menerima Ketua UMNO Bahagian baharu ialah Wilayah Persekutuan (6), Selangor (6), Kedah (5), Kelantan (5), Pahang (5), Perak (4), Perlis (3), Melaka (3), Terengganu (3), Pulau Pinang (2) dan Negeri Sembilan (2).

Dalam pada itu, perkembangan di Johor itu katanya, sesuatu yang menarik apabila kira-kira 38.5 peratus mendapat Ketua UMNO Bahagian yang baharu.

“Macam 10 Bahagian di Johor dari 26 Bahagian, dekat 50 peratus (perubahan), manakala keseluruhannya 29 peratus muka baharu,” katanya lagi. – Malaysia Gazette

Artikel Berkaitan

Back to top button