UMNO perlu main naratif ingin berubah selepas dilanda penyakit kronik

KUALA LUMPUR 20 Mac – Selepas beberapa kemelut yang melanda UMNO sebelum ini, ramai yang teruja bila melihat keputusan pemilihan parti itu.
Ini kerana, 54 muka baharu dipilih menjadi Ketua Bahagian dan itu sesuatu yang mengejutkan apatah lagi jawatan itu amat sukar ditumbangkan jika mantannya memilih untuk turut bertanding.
Ada yang mengatakan bahawa pemilihan muka baharu bukan sahaja di peringkat Ketua Bahagian, tetapi Majlis Kerja Tertinggi dan Naib Presiden juga membuktikan yang UMNO sebenarnya mahu berubah.
Setuju dengan perkara itu, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Azmi Hassan berkata, UMNO perlu bermain dengan persepsi bahawa mereka berani berubah.
“Bermaksud bahawa akar umbi berani memilih pemimpin yang tiada liabliti, yang berkemungkinan tidak bersama-sama kem Presiden.
“Persepsi ini amat penting untuk UMNO gunakan bukan sahaja bagi meyakinkan penyokong parti itu, tetapi mereka di luar yang selama ini melihat UMNO tidak mahu berubah walaupun dilanda penyakit kronik.
“Perkara ini boleh dijadikan naratif terutamanya ketika mereka bakal berdepan ujian pertama iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya kepada Xklusif.
Akar umbi mahu perubahan 2 jawatan tertinggi UMNO?
Ditanya mengenai penampilan 54 muka baharu itu ibarat simbolik kepada akar umbi yang inginkan perubahan terutamanya melibatkan dua jawatan tertinggi UMNO yang tidak dipertandingkan, Azmi berkata, agak sukar untuk dinilai perkara itu.
Ini kerana, 54 muka baharu ini tidak diketahui berada dalam kem yang mana (pro atau anti Presiden).
“Tetapi saya melihat naratif pemilihan 54 Ketua Bahagian baharu ini kerana mahukan perumbahan termasuk dua jawatan tertinggi yang tidak dipertandingkan boleh dijual.
“Ini kerana bukan sahaja Ketua Bahagian, tetapi Majlis Kerja Tertinggi (MKT juga ada muka baharu dan lama yang lebih kepada status quo.
“Jawatan Naib Presiden juga nampaknya ada dua orang yang mempunyai pegangan status quo,” katanya.
Namun kata Azmi, jika nak dikatakan pemilihan Ketua Bahagian baharu ini ibarat petanda mahu dua jawatan tertinggi juga diubah sebenarnya tidak begitu tepat.
Tetapi tambahnya, apa yang boleh dijual UMNO adalah naratif akar umbi mahu kerjasama gabungan campuran dalam usaha menaikkan semula nama parti. – Xklusif