Berita

UMNO punca utama Najib gagal dapat pengampunan

Perkara itu dinyatakan Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim.

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim mendakwa, keengganan UMNO membela nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi punca kepada kegagalan untuk mendapatkan pengampunan.

Beliau berkata, kegagalan itu merupakan kelemahan UMNO yang ketara kerana Lembaga Pengampunan merupakan badan kerajaan.

“UMNO ada dalam kerajaan tetapi UMNO seperti kambing tua yang suaranya tidak perlu diambil kira.

“Jangan cuba salahkan pihak lain. UMNO tidak bersuara, mereka malu untuk menuntut pembelaan kepada Datuk Seri Najib. Itu hakikat,” katanya menerusi satu hantaran di laman X pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Tarikh tersebut adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Yang di-Pertuan Agong ketika itu).

Mengulas lanjut, Mohd Zaid berkata, UMNO akan berhadapan dengan kehancuran parti yang berterusan.

“Mereka yang mahu hancurkan UMNO membuat keputusan strategik dengan ‘penjarakan Najib’ tetapi UMNO tidak sanggup menyelamatkan parti dengan menyelamatkan Najib.

“Ini merupakan kebodohan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah UMNO dan mereka kata UMNO itu parti keramat!” ujarnya. – Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button