Politik

UMNO dianggap lemah bukan sebab logo atau Zahid

UMNO perlu lebih agresif mencari jalan supaya persepsi orang Melayu terhadap parti itu dapat dipulihkan

KUALA LUMPUR 24 Ogos – UMNO tidak akan dapat menyelesaikan sebarang kemelut yang melanda parti itu jika bertindak menggunakan logo sendiri dalam pilihan raya akan datang.

Malah, tindakan itu hanya akan menambah kekeliruan kepada pengundi Melayu yang merasakan parti keramat itu sudah berpecah kepada kepada beberapa ‘puak’ berbanding sebelum ini.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Dr Azmi Hassan berkata, masalah yang berlaku sekarang bukan disebabkan logo parti itu, tetapi UMNO sendiri dilihat lemah di mata pengundi Melayu.

“Kalau gunakan logo sendiri pun, tidak akan selesaikan masalah. Pengundi Melayu lari bukan sebab logo.

“Desakan supaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi letak jawatan pun bukan masalah utama. Ini semua hanya tindakan sesetengah pihak untuk menyedapkan hati sahaja untuk menunjukkan mereka sudah berbuat sesuatu,” katanya kepada Xklusif di sini, hari ini.

Katanya lagi, punca utama pengundi Melayu lari adalah UMNO dilihat lemah apabila berdepan dengan DAP yang sudah dianggap musuh sejak sekian lama.

“Ini semua berpunca daripada persepsi yang ditekankan sejak dulu dan kini semua itu perlu berubah mengikut kepada keadaan sekarang.

“Orang Melayu memandang UMNO lemah apabila berkerjasama dengan DAP, namun hakikatnya DAP banyak bertolak ansur kerana mereka tahu UMNO akan menarik diri jika mereka berkeras.

“Persepsi orang Melayu adalah DAP ini dominan, mereka yang mengawal kerajaan. UMNO lemah. Perkara ini tidak akan dapat diselesaikan jika orang lain bergelar presiden sekali pun,” katanya.

Katanya lagi, jika ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) turut meletak jawatan sekali pun, masih tidak akan mengubah keadaan UMNO sekarang.

“Sesiapa saja yang letak jawatan sekarang pun termasuk MKT keadaan masih sama, malah boleh jadi lagi teruk dan porak peranda.

“Masalah sebenar bukan logo atau individu, tetapi persepsi pengundi Melayu yang menjadi pertaruhan. Jika perkara itu dapat diselesaikan, tidak mustahil UMNO boleh kembali di hati rakyat,” katanya.

Terdahulu, Azalina melontarkan persoalan sama ada parti itu boleh mempertimbang untuk bertanding atas tiket UMNO berbanding logo BN pada pilihan raya akan datang.

Ia dilontarkan Azalina ketika UMNO kini berdepan penolakan orang Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, selain ‘perselisihan’ dalaman dikhabarkan meletus antara kepimpinan parti komponen BN sejak berakhir Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

“Izinkan saya untuk melontarkan persoalan ini, adakah sudah tiba masanya untuk UMNO bertanding atas tiket sendiri pada pilihan raya akan datang atau masih lagi di bawah bendera BN, ataupun di bawah BN dengan gabungan baharu?” katanya. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button