Politik

UMNO sudah rosak, tiada harapan menang PRN

KUALA LUMPUR 6 Jun – Peluang UMNO untuk memenangi kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi semakin malap dengan kekuatan gelombang hijau yang lebih berpihak kepada Perikatan Nasional (PN).

Penganalisi politik, Dr Jeniri Amir berkata, sukar untuk UMNO untuk melepasi gelombang hijau disebabkan tindakan dan pemikiran parti keramat itu sendiri memecat pemimpin yang berpotensi untuk memulihkan UMNO.

“Sekarang ini sudah terlambat untuk UMNO nak menang kerusi PRN. Walaupun dengan bantuan Pakatan harapan (PH), orang Melayu sudah tidak percaya kepada UMNO sendiri.

“Malah, DAP sendiri tidak mampu buat apa-apa. Adakah pengundi Cina nak sokong UMNO? UMNO sudah terlalu rosak dan musnah disebabkan tindakan yang dibuat oleh kepimpinannya,” katanya kepada Xklusif, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, UMNO kini berdepan dengan ujian besar untuk menambat semula hati pengundi Melayu yang dilihat semakin berkurangan dan akan memihak kepada PN.

“Saya percaya dalam keadaan sekarang untuk UMNO hambat hati pengundi Melayu sukar. Ini persaingan untuk menangi hati pengundi Melayu semula.

“Semantara PAS dan PN ada kelebihan mereka tersendiri yang tidak boleh dinafikan lagi. Mereka tetap dengan perjuangan mereka untuk orang Melayu dan UMNO nampaknya sudah tersasar jauh,” katanya.

Katanya, sekiranya UMNO gagal memenangi kerusi pada PRN akan datang, ia petanda bahawa kerusi yang dimenangi semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu akan merosot dalam PRU akan datang.

“Salah satu faktor kepada kemusnahan UMNO juga nanti akan dituding kepada pimpinan presidennya sendiri iaitu Datuk Seri Dr Zahid Hamidi kerana tonggak UMNO berada di bahunya.

“Sudah jadi tanggungjawab dia (Zahid) dan kini susah nak pulihkan parti yang rosak dalam keadaan yang singkat.

“Tidak mustahil kerusi yang dimenangi UMNO semasa PRU lalu akan merosot dengan mendadak pada PRU akan datang. Semasa itu memang UMNO akan terkubur,” katanya.

Jeniri turut berpendapat langkah kerjasama UMNO bersama DAP adalah punca utama pengundi Melayu menjadi keliru untuk bersama parti itu lagi.

“Langkah kerjasama dengan DAP telah memburukkan keradaan kerana sebelum ini DAP dianggap sebagai musuh, jadi pengundi Melayu dah jadi keliru.

“Tidak mudah untuk mengubah pendirian itu yang sudah berpuluh tahun diterapkan<” katanya.

Biarpun UMNO menukar kepimpinan sekali pun, Dr Jeniri berkata tiada apa yang boleh dibuat dalam masa singkat untuk mengubah pemikiran pengundi Melayu.

“Tukar pemimpin sekali pun, tidak akan boleh ubah sekelip mata. Kini kita hanya boleh lihat akan sahaja kemusnahan UMNO,” katanya.

Semalam, Xklusif melaporkan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO bakal mengalami kerugian.

Beliau merujuk kenyataan beberapa pemimpin yang secara sinis ‘menjemput’ bekas ahli-ahli yang digantung dan dipecat sekiranya mereka rindu untuk hadir ke Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung bermula Rabu hingga Sabtu ini.

Hantaran Hishammuddin itu menyebabkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin secara spontan meninggalkan komen; ‘PRN UMNO bungkus’.

Pada awal tahun ini, UMNO memutuskan memecat Khairy manakala Hishamuddin pula digantung selama enam tahun. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button