‘UMNO tidak perlu referendum ahli parti’ – Zahid
Zahid menegaskan, cadangan supaya diadakan referendum yang diutarakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Isham Jalil, itu hanya pendapat peribadi dan semua orang tidak boleh dipaksa menerimanya

KUALA LUMPUR 13 Sept – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, tiada keperluan bagi UMNO itu untuk mengadakan referendum dalam kalangan ahli, berhubung kerjasama di antara parti itu dengan DAP.
Beliau yang juga Presiden UMNO menegaskan, cadangan supaya diadakan referendum yang diutarakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Isham Jalil, itu hanya pendapat peribadi dan semua orang tidak boleh dipaksa menerimanya.
“Kenapa perlu referendum? Tak perlu referendum.
“Saya menghormati pendapat peribadi tapi jangan memaksa semua orang menghormati pendapat peribadi itu,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pavilion Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Semalam, Isham melalui Facebooknya menggesa UMNO membuat referendum dalam kalangan tiga juta ahlinya, sama ada mahu bekerjasama dengan DAP atau tidak.
Isham sebelum ini menegaskan, Yang di-Pertuan Agong hanya menitahkan UMNO menyertai pembentukan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) dan bukannya bersama PH dalam menghadapi pilihan raya. – Berita Harian