Berita

Umur 35 tahun masuk PLKN, ini jawapan menteri

Ada kaedah tersendiri yang digunakan untuk pemilihan pelatih PLKN.

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Sejak semalam, tular di media sosial berkaitan dengan kerisauan golongan yang berusia 35 tahun ekoran kenyataan yang mengatakan bahawa mereka juga perlu menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Susulan itu, Kementerian Pertahanan dalam kenyataan menjelaskan secara dasarnya kerajaan telah bersetuju untuk memperkenalkan semula PLKN dengan kaedah baharu iaitu PLKN 3.0 selaras dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).

Mengenai penetapan had umur pelatih PLKN itu, Kementerian Pertahanan memaklumkan pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran.

Menurut kementerian itu, ada garis permulaan tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan PLKN 3.0.

“Sebagai contoh, sekiranya PLKN 3.0 dilaksanakan pada tahun 2024, maka remaja yang hanya lahir pada tahun 2007 akan dipanggil untuk menjalani latihan tersebut.

“Sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas sebab yang dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan.

“Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga umur 35 tahun.

“Kementerian Pertahanan berharap agar penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan dan kegusaran orang awam mengenai penetapan umur pelatih PLKN 3.0,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, orang ramai menyatakan rasa gusar apabila kononnya had umur 16 sehingga 35 tahun akan dipanggil menyertai PLKN yang akan diperkenalkan semula tidak lama lagi.

Ia susulan laporan media bahawa PLKN baharu akan disasarkan kepada golongan belia antara 16 hingga 35 tahun kecuali pelajar yang berada di Tingkatan Lima.

Isnin lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Fasa 1 melibatkan pelajar Tingkatan Empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM), yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap.

Menurutnya, pelajar Tingkatan Lima yang dikecualikan untuk menjalani latihan di Fasa 1 bagi memberi laluan kepada mereka melakukan persediaan menempuhi peperiksaan SPM pula akan menyertai Fasa 2 di kem latihan tentera wataniah sedia ada.

Beliau berkata demikian dalam sesi jawapan bertulis kepada Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) pada Dewan Rakyat. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button