Berita

UPSI Prihatin sumbang kerusi roda elektrik, takaful kepada staf dan pesara

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyerahkan bantuan kerusi roda elektrik dan sumbangan takaful berkelompok kepada staf dan waris UPSI yang berkelayakan baru-baru ini.

Bantuan tersebut membabitkan empat penerima kerusi roda elektrik dan empat waris penerima sumbangan takaful berkelompok menerusi Tabung UPSI Prihatin yang diwujudkan bagi membantu kakitangan dan mahasiswa serta masyarakat dalam meringankan beban musibah dan kemiskinan.

Prof Datuk Dr. Md Amin menyantuni waris pesara UPSI

Penyerahan bantuan itu disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff pada 3 September lalu di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI,

Dalam ucapannya, Prof Datuk Dr. Md Amin berkata program penyerahan bantuan ini merupakan satu inisiatif yang diadakan bagi menghargai sumbangan dan jasa bakti kakitangan UPSI yang telah lama berkhidmat di sini.

Prof Datuk Dr. Md Amin menyantuni staf penerima kerusi roda elektrik, En. Ahmad Supian Abdullah

Menurut beliau, cetusan idea untuk melaksanakan majlis penyerahan bantuan ini disebabkan oleh semangat juang yang dipamerkan oleh kakitangan UPSI yang mempunyai kekurangan diri tapi sentiasa komited untuk menjalankan tugas di sini.

“Saya sentiasa cakna dengan kakitangan UPSI yang kekurangan kemampuan namun saya kagum dengan mereka yang tetap bersemangat dan komited untuk bekerja di UPSI.

“UPSI akan menyediakan pelbagai lagi inisiatif bantuan kepada kakitangan dan pesara UPSI pada masa akan datang bagi memastikan kebajikan warga UPSI terjaga,” ujar beliau dalam majlis ini.

Ucapan aluan yang disampaikan oleh Prof Datuk Dr. Md Amin

Dalam majlis yang sama, Prof Datuk Dr. Md Amin berkata UPSI bakal melancarkan kad pesara kepada pesara UPSI termasuk balu pesara.

Jelas beliau, kad pesara tersebut menyediakan manfaat dalam menggunakan semua kemudahan yang ada di UPSI pada kadar harga staf.

Prof Datuk Dr. Md Amin (tengah) bersama penerima kerusi roda elektrik
dan sumbangan takaful.

Turut hadir menyaksikan penyerahan bantuan tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr. Suriani Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr. Norkhalid Salimin; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Pengarah, Pusat Waqaf, Endowmen, Zakat, Sedekah dan Khairat (Wezas), Prof Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif.

Artikel Berkaitan

Back to top button