Berita

Usah tertipu ‘scammer’ badal haji, cari orang yang selayaknya

KUALA LUMPUR 28 Jun – Umat Islam dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan khidmat upah haji yang ditawarkan pada harga terlalu murah bagi mengelak ditipu dan ibadah yang diharapkan tidak diterima di sisi Allah SWT.

Pendakwah Bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani berkata, adalah sangat tidak logik apabila ada pihak yang menawarkan khidmat upah haji pada harga RM2,000 hingga RM3,000 kerana hakikatnya ia berharga RM10,000 pada masa kini.

“Sindiket penipuan upah haji ini bukan perkara baru. Ia sudah berlaku sejak dahulu lagi dan bagi mereka yang tidak mempunyai ilmu mengenai perkara ini memang akan mudah ditipu.

“Apabila ditipu, bukan saja duit saja yang melayang, tetapi juga ibadah yang dilakukan tidak diterima. Upah haji bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang disangka, ia memerlukan ilmu dan wang mengikut kepada kemampuan,” katanya kepada Xklusif, hari ini.

Katanya lagi, umat Islam tidak sepatutnya meletakkan Islam sebagai sesuatu yang boleh ditawar menawar untuk mendapatkan harga yang paling murah untuk keuntungan diri sendiri.

“Dengan agama jangan kita sesekali berkira, kerana Allah SWT akan berkira dengan kita semula. Ibadah upah haji adalah sama seperti haji sebenar dan hanya membezakan adalah orang lain yang melaksanakannya.

“Sedangkan orang tempatan sendiri perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk menunaikan haji, inikan pula orang dari Malaysia sendiri. Tiada yang pergi haji pada harga RM2,000,” katanya.

Katanya lagi, umat Islam sepatutnya fokus mendalami ilmu agama terlebih dahulu dan bukannya terus terpengaruh dengan sindiket yang menawarkan khidmat upah haji pada harga murah.

“Bagi mereka yang terlibat dalam sindiket ini, sudah pasti terpaksa menanggung dosa besar apatahlagi ia dilakukan di rumah Allah SWT. Namun, bagi mereka yang tertipu, anda patut dalami lagi ilmu agama supaya tidak lagi ditipu.

“Lebih baik cari seseorang daripada Malaysia yang pernah melakukan haji, dan hantar dia ke Mekkah untuk khidmat upah haji. Itulah cara yang lebih afdal kerana hanya setiap seorang hanya boleh melakukan satu khidmat upah haji,” katanya.

Terdahulu, tular sejak beberapa hari lalu sekumpulan lelaki didakwa menjalankan sindiket upah badal Haji di Makkah apabila mengaut keuntungan daripada waris si mati dengan cara haram.

Perbuatan itu dibongkarkan menerusi perkongsian di laman Facebook memaparkan tindakan kumpulan terbabit yang menggunakan khidmat ‘pelakon’ sebagai bukti ibadah tersebut.

Menjadikan pemuda berwajah Melayu sebagai sasaran, si pelaku dipercayai memberikan upah antara RM60 sehingga RM120 bagi mereka yang dilantik untuk melakukan perbuatan terkutuk itu.

Situasi itu dirakamkan menerusi video berdurasi 51 saat dan hangat diperkatakan warganet.

Dalam pada itu, helaian kertas digunakan sebagai bukti ibadah itu dilakukan turut kelihatan bersepah di sekitar kawasan berkenaan dipercayai dibuang oleh sindiket terbabit.

Lebih menyedihkan, rata-rata dokumen itu menunjukkan butir diri jemaah dari Malaysia dan sekali gus menguatkan lagi stigma terhadap kegiatan haram dilakukan si pelaku. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button