Usahawan disaran kenal pasti ekonomi, strategi digital baharu untuk berjaya – Saravanan
Perkembangan teknologi digital terkini membawa kepada pengenalan produk dan perkhidmatan yang menjadikan perniagaan lebih berdaya saing
CHENNAI 8 Jan – Usahawan global perlu mewujudkan alternatif yang dapat membantu perniagaan mereka lebih berjaya ketika menghadapi suasana ekonomi yang agak perlahan.
Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan berkata, perkembangan teknologi digital terkini membawa kepada pengenalan produk dan perkhidmatan yang menjadikan perniagaan lebih berdaya saing.
Dalam era Revolusi Industri (IR 4.0) maklumat digital dan data raya (Big Data) berfungsi sebagai faktor utama yang menggerakkan ekonomi baharu.
“Peralihan ekonomi sedia ada kepada ekonomi digital dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi tempatan dan antarabangsa,” katanya yang juga Timbalan Presiden MIC.
Saravana yang juga bekas Menteri Sumber Manusia berkata demikian ketika dijemput memberi ucapan di Global Connect Conference di Chennai, Tamil Nadu pada Sabtu.
Menurutnya, tadbir urus yang lebih cekap dan telus serta kerjasama kukuh dapat memaksimumkan impak positif ekonomi digital kepada industri, usahawan dan masyarakat antarabangsa, ujar beliau.
Lebih 500 usahawan berketurunan Tamil dari dalam dan luar negara menghadiri konvensyen tersebut yang dianjurkan oleh Global Organisation of Tamil Origin. – Xklusif