Usahawan Melaka berpeluang dilatih Dr. Azizan secara langsung
Dr. Azizan berkata, inisiatif itu bagi menyokong terus usahawan-usahawan di negeri mereka yang kini berdepan pelbagai cabaran.
AYER KEROH 7 Sept. – Melaka menjadi lokasi pertama penganjuran program 10X Bina Bisnes Berjaya (10XBBB) di luar Lembah Klang dengan tema Bangkit Usahawan Melaka pada penghujung bulan ini.
Menurut Pengasas RichWorks International Sdn. Bhd., Datuk Wira Dr. Azizan Osman, program tersebut dianjurkan kami bersama Kerajaan Negeri dan Media Prima Berhad.
Katanya, inisiatif itu bagi menyokong terus usahawan-usahawan di negeri mereka yang kini berdepan pelbagai cabaran antaranya ekoran polikrisis dan Melaka menjadi lokasi pertama.
“Program 10XBBB yang buat julung-julung kalinya kami adakan bersama Kerajaan Negeri Melaka.
“Kita adakannya secara percuma khas untuk mereka sudah berniaga dan juga buat yang komited mahu membina perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
10XBBB ini akan diadakan di MITC Ayer Keroh, Melaka pada 30 September dan 1 Oktober selepas dianjurkan di Shah Alam , 2 dan 3 September lalu.
Perkara itu diumumkan sendiri oleh Mentor Usahawan yang juga Pengasas RichWorks, Datuk Wira Dr. Azizan Osman menerusi program bual bicara Wira Usahawan setiap Rabu malam yang disiarkan secara langsung di platform media sosial Azizan Osman Official.
Tambahnya, program 10XBBB ditaja sepenuhnya khusus buat usahawan yang serius ingin berjaya dalam bidang perniagaan yang diceburi.
“Alhamdulillah, program ini juga mendapat sokongan Jabatan Mufti Negeri Melaka bagi membantu usahawan daripada golongan muallaf dan asnaf untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dan menjadi inspirasi kepada orang lain.
“Bagaimanapun, bilangan tempat yang ada agak terhad dan saya mencadangkan agar para usahawan terus memohon segera kerana ada pembaharuan model yang akan dibawakan untuk 10XBBB edisi kali ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, program juga mendapat sokongan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Allex Seah Shoo Chin.
“Ini merupakan suatu insiatif yang dapat membantu para usahawan di Melaka. Oleh itu, mereka disarankan untuk mendaftar segera sebelum permohonan ditutup,” ujarnya yang dimuat naik dalam laman Facebook Kerajaan Negeri Melaka.
Terdahulu, program 10XBBB yang pertama tahun ini baru sahaja diadakan di IDCC, Shah Alam pada 2 dan 3 September yang lalu.
Bagi usahawan di sekitar Melaka yang berminat, anda dijemput untuk memohon menerusi laman sesawang www.binabisnesberjaya.com. — Xklusif