Berita

Ustaz KAFA belasah ibu sebab minta wang belanja dapur

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Sering Ukay Indah dekat sini, pada 19 Januari lalu

KUALA LUMPUR 25 Jan – Seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) ditahan kerana memukul ibu angkatnya hanya kerana wanita itu meminta wang belanja dapur, semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Sering Ukay Indah dekat sini, pada 19 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata mangsa dalam kejadian itu adalah seorang wanita warga emas berusia 76 tahun.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa dikatakan meminta wang belanja dapur daripada anak angkatnya yang dijaga sejak lahir itu, namun lelaki berusia 28 tahun itu berang dan memukulnya.

“Akibat kejadian, mangsa mengalami kesakitan pada kepala, leher dan juga pinggang.

“Hasil pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Ampang, mangsa disahkan mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian kepala dan perut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan aduan dibuat mangsa, Mohd Azam berkata polis menahan seorang lelaki di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk membantu siasatan kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam

“Semakan mendapati suspek yang berusia 28 tahun dan bertugas sebagai guru KAFA mempunyai saturekod lampau kesalahan jenayah, manakala ujian saringan air kencing didapati negatif dadah.

“Suspek kini direman empat hari bermula hari ini sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya.

Mohd Azam berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button