Berita

Ustaz Kazim tidak akan beri kuliah di Pulau Pinang lagi sampai bila-bila

Ia selepas Ustaz Kazim menerima arahan tidak dibenarkan memberi kuliah di Pulau Pinang

BAYAN LEPAS 29 Okt – “Kuliah ditangguhkan sebab saya tidak dibenarkan menyampai kuliah, jadi saya ambil keputusan tidak lagi mengajar di Pulau Pinang bermula hari ini (semalam).”

Itu kata pendakwah bebas Datuk Mohd Kazim Elias di Masjid Al-Ittifaq Sungai Nibong Kecil, di sini, semalam, selepas menerima arahan tidak dibenarkan memberi kuliah di Pulau Pinang.

Ucapan berkenaan dipercayai dirakam jemaah menerusi video berdurasi 3.08 saat dan turut tular di media sosial sejak pagi ini.

Menerusi video berkenaan, Mohd Kazim berkata sebagai rakyat Malaysia yang patuh kepada arahan, beliau menerima keputusan berkenaan.

“Ini adalah pertemuan terakhir dengan tuan-tuan jadi saya datang ke sini bukan untuk beri kuliah, tetapi nak sampaikan ucapan terima kasih kepada pihak masjid kerana sudi menjemput saya menyampaikan kuliah.

“Begitu juga kepada semua (pengurusan) masjid dan surau yang jemput saya selama 33 tahun menyampaikan ceramah di Pulau Pinang sehinggalah pada April lalu.

“Jadi, semua program bermula malam ini sehingga bila-bila, saya tidak lagi terima sebarang jemputan di Pulau Pinang kerana mematuhi arahan ini,” katanya menerusi video berkenaan, di sini, semalam.

Menurutnya, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Pejabat Mufti Pulau Pinang atas kerjasama sebelum ini.

“Insya -Allah, mungkin kita dapat ikuti kuliah lagi dalam platform yang lain,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi masjid, Jaafar Talib mengesahkan video tular itu dan pihaknya akur dengan keputusan jabatan agama serta penceramah bebas berkenaan.

Jaafar mendakwa, Mohd Kazim terdahulu menerima arahan itu sebelum tampil ke masjid bagi memberi penjelasan berkenaan arahan terbabit.

“Ustaz sudah datang, tetapi tidak dibenar menyampaikan kuliah. Beliau sering dijemput ke masjid ini bagi pengajaran agama selain membeli kuliah dan ceramah.

“Pada mulanya, saya sangka arahan itu adalah bagi masjid ini sahaja, rupa-rupanya untuk seluruh Pulau Pinang. “Beliau juga pernah tidak dibenar mengadakan kuliah atau ceramah di negeri ini pada April lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Setakat ini tiada kenyataan dari jabatan dan majlis agama. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button