Berita

Utamakan khidmat kecemasan, bukan pakaian – Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly mengulas berhubung isu seorang warga emas yang dilarang melawat pesakit di sebuah hospital kerajaan kerana berseluar pendek

BUTTERWORTH 15 Dis – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahukan perkhidmatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ED) dipertingkatkan dalam isu saringan terhadap tahap kronik pesakit bukanlah bertumpu kepada pakaian seseorang pesakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keutamaan akan diberikan berdasarkan tahap kesakitan seseorang pesakit yang hadir bagi mendapatkan rawatan ke hospital.

“Kita mahu peningkatan perkhidmatan kesihatan di ED terkait ‘TRIAGING’ memberi pesakit, ‘triage’ berdasarkan ‘severity illnesses’ dan bukan terkait hal pakaian seseorang pesakit,” katanya melalui hantaran di aplikasi X.

Beliau mengulas berhubung isu seorang warga emas yang dilarang melawat pesakit di sebuah hospital kerajaan kerana berseluar pendek.

Ketika itu, lelaki berusia 70-an itu dipercayai memakai baju T, berseluar atas lutut dan berkasut sukan ketika tiba di Hospital Seberang Jaya petang Isnin lalu.

Dalam perkembangan berbeza, Dzulkefly juga mengulas bahawa proses saringan yang didakwa dilakukan selepas lima jam pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) adalah tidak wajar.

“Kematian di HSAH selepas tunggu lima jam untuk ‘ditriage’, tak wajar berulang,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa KKM akan menyiasat dakwaan berhubung kematian seorang pesakit lelaki yang dikatakan tidak mendapat rawatan yang tepat di HSAH seperti yang ditularkan di media sosial Khamis lalu.

HSAH dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak pengurusan hospital telah memulakan siasatan berhubung kejadian dan memberi jaminan bahawa setiap aduan akan disiasat secara telus, mengikut prosedur yang telah ditetapkan. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button