Viral

(VIDEO) 2 lori bertembung sebelum rempuh rumah, warung di Kuala Krai

Lori itu kemudian berlanggar dengan lori lain dan sebuah motosikal sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan dan merempuh rumah berhampiran lokasi

KUALA KRAI 13 Dis – Rumah dan warung mengalami kerosakan apabila dilanggar dua lori yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 75 Jalan Kota Bharu – Gua Musang dekat Pahi, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 3.15 petang itu, dua pemandu lori berusia 29 dan 39 tahun mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori Isuzu Luton yang berusia 29 tahun dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bharu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Lori itu kemudian berlanggar dengan lori lain dan sebuah motosikal sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan dan merempuh rumah berhampiran lokasi.

“Sebuah lagi lori terbabas di bahu jalan dan merempuh warung yang berada di laluannya,” katanya menerusi kenyataan.

Pemandu kedua-dua lori bersama penunggang motosikal yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di Kuala Krai untuk rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button