Dunia

(VIDEO) 51 paus mati terdampar di Australia Barat

DBCA menerima laporan sekumpulan besar ikan paus bersirip panjang berkumpul kira-kira 150 meter dari Pantai Cheynes.

KUALA LUMPUR 26 Julai – Jabatan Biodiversiti, Pemuliharaan dan Daya Tarikan (DBCA) Australia Barat pada Rabu mengesahkan kematian 51 ikan paus yang terdampar di Pantai Cheynes di barat daya negeri itu, lapor Xinhua.

“Kakitangan Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar bekerjasama dengan sukarelawan berdaftar dan organisasi lain untuk cuba menyelamatkan baki 46 ikan paus dengan membawanya ke perairan yang lebih dalam pada siang hari,” menurut jabatan itu.

Jabatan itu juga menggesa orang ramai supaya menjauhi pantai untuk keselamatan mereka.

Cheynes Beach Caravan Park berkata DBCA telah menubuhkan pasukan pengurusan insiden.

“Kakitangan berpengalaman dari DBCA, termasuk doktor haiwan Zoo Perth dan pakar fauna marin, bersama peralatan khusus, termasuk kapal dan anduh telah digerakkan,” menurut hantaran terkini taman itu di media sosial.

Pada semalam, DBCA menerima laporan sekumpulan besar ikan paus bersirip panjang berkumpul kira-kira 150 meter dari Pantai Cheynes.

Berikutan insiden itu, kerajaan mengeluarkan amaran kerana haiwan yang mati dan cedera mungkin menarik jerung menghampiri pantai. Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button