Viral

(VIDEO) Aksi tembak di Kepong, warganet geram orang awam beri laluan penjenayah lari dari polis

Kejadian berlaku pada pukul 7.45 pagi.

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Macam dalam filem aksi! Itu reaksi warganet apabila menonton video tular memaparkan kejadian tembak menembak antara polis dan pemandu kereta jenis Proton Wira di Kepong selepas tular di media sosial sejak tengah hari tadi.

Menerusi video berdurasi 14 saat itu, kelihatan tiga anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berlari mengejar kereta suspek sambil menghalakan pistol.

Turut kedengaran bunyi sembilan das tembakan dilepaskan ke arah kenderaan tersebut, namun pemandunya enggan berhenti sebaliknya meneruskan pemanduan.

Beberapa kenderaan awam yang berada di lokasi kejadian kelihatan ‘memberi laluan’.

Perkongsian yang dibuat pelayar TikTok Fazrin Ariff mendapat pelbagai reaksi warganet yang juga keliru jika kejadian itu benar atau lakonan.

Malah, ada warganet yang mempersoalkan pengguna jalan raya memberi laluan kepada kenderaan suspek yang sedang melarikan diri.

“Kereta tu siap bagi laluan lagi ..dia ingat ambulan lalu ke,” kata Chef Nafis. 

“Bila ambulance lalu semua buat mcm steering rack bocor, bila mcm ni kemain power steering auto pusing mcm Tesla,” kata Charlie’s Devil. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 7.45 pagi tadi bermula dari Pintasan Segambut melalui Taman Pusat Kepong sehingga Laman Rimbunan, Jalan Kepong.

“Hasil siasatan awal mendapati semasa anggota URB sedang membuat rondaan, mereka terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hijau dalam keadaan mencurigakan.

“Oleh yang demikian anggota URB cuba memberhentikan kereta tersebut tetapi suspek bertindak melarikan diri dan telah melanggar kereta orang awam.

“Suspek sebelum itu bertindak mengundurkan kenderaannya dan melanggar anggota URB sehingga mengakibatkan motosikal mengalami kerosakan dan kecederaan pada anggota terbabit.

“Bagi mempertahankan keselamatan diri, kedua-dua anggota URB melepaskan sebanyak sembilan das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek dan menyebabkan kenderaan dinaiki terbabas di tepi jalan,” jelasnya dalam kenyataan.

Tambah beliau, identiti kedua-dua suspek sudah dikenal pasti, namun kedua-dua suspek berjaya melarikan diri.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307/ 353 Kanun keseksaan. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button