Viral

(VIDEO) Alami kekejangan kaki, pemandu Myvi rempuh stesen minyak di Ipoh

Pemandu Myvi berusia 77 tahun.

KUALA LUMPUR 10 Jan. – Sebuah Perodua Myvi merempuh cermin sebuah stesen minyak di Taman Canning di Ipoh, Perak semalam, gara-gara pemandunya seorang lelaki warga Switzerland dikatakan mengalami kekejangan kaki semasa hendak mengisi minyak.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata dalam kejadian pada 10.30 pagi itu, lelaki berusia 77 tahun tersebut yang berada di satu daripada pam minyak sedang membetulkan kenderaannya untuk mengisi minyak sebelum secara tiba-tiba mengalami kekejangan pada kaki kanan.

“Akibat daripada itu, pemandu berkenaan dia tidak dapat mengawal kenderaannya hingga terbabas ke hadapan lalu melanggar motosikal jenis Yamaha yang diparkir dan merempuh dinding kaca premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini

Bagaimanapun, katanya penunggang motosikal berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata kejadian itu turut menyebabkan seorang wanita yang berada di situ cedera di kaki kanan dan kes diklasifikasikan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Video dan gambar kejadian itu tular di laman Facebook sejak petang tadi. — Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button