(VIDEO) Anak aktif tiba-tiba sakit saraf, ibu berat hati berhentikan sekolah anak
Ibu yang dikenali sebagai Nisaa Haswan itu memuatnaik perjalanan hidupnya bersama anak lelaki, Mohamad Nur Iman Ramadhani yang menghidap penyakit adrenoleukodystrophy.
KUALA LUMPUR 24 Julai – Ibu mana yang tidak mahu melihat anak mereka gembira ke sekolah sekali gus dapat menimba ilmu hingga ke menara gading.
Namun, tidak semua ibu berpeluang menyaksikan impian itu tercapai, malah diuji dengan ujian berat yang memerlukan ketabahan dan kesabaran yang tinggi apabila anak yang dijaga dengan penuh kasih sayang sejak lahir secara tiba-tiba jatuh sakit.
Baru-baru ini, tular di laman sosial apabila seorang ibu melahirkan rasa terkilan dan kecewa selepas terpaksa memberhentikan anaknya yang berusia 11 tahun dari persekolahan selepas kesihatan semakin merosot.
View this post on Instagram
Ibu yang dikenali sebagai Nisaa Haswan itu memuatnaik perjalanan hidupnya bersama anak lelaki, Mohamad Nur Iman Ramadhani yang menghidap penyakit adrenoleukodystrophy atau gangguan saraf otak.
“Sedihnya hari ini pergi sekolah untuk memberhentikan Iman sebab dia memang tak boleh sekolah lagi. Kalau awak masih sekolah awak akan berada di sini.
“Berat tetapi kena teruskan juga. Semoga Iman ada rezeki untuk bersekolah semula,” jelasnya.
Tambahnya, Nur Iman merupakan antara pelajar aktif dan pernah menjuarai acara lumba lari di sekolah namun sekarang tidak dapat bercakap, mendengar serta telah hilang deria penglihatan.
“Sebagaimana ibu abah tidak pernah berputus asa, begitu juga awak Iman. Semangat dan kekuatan awak luar biasa,” ulasnya di ruangan kapsyen.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai berkongsi rasa kasihan dan simpati dengan keadaan terkini anak wanita itu.
“Allah tidak akan menguji hamba-Nya jika tidak mampu. Saya doakan anak puan kembali sihat dan dapat bersama rakan-rakan ya, amin…,” komen Jamilah Basir.
“Ya Allah sedihnya ujian untuk adik Iman sekeluarga. Moga dipermudahkan segala urusan,” kata Watie.
“Bagusnya dia tak nak ponteng sekolah. Semoga Adik Iman cpat smbuh dan segala urusan di permudahkn oleh Allah SWT sentiasa In Shaa Allah, “ kata Umie Inara Kiut. – Xklusif