(VIDEO) Anjing peliharaan bertalu-talu serang murid di Pulau Pinang
Dalam video berkenaan, mangsa berjalan bersama seorang lagi kanak-kanak perempuan dipercayai dalam perjalanan menuju ke sekolah
KUALA LUMPUR 30 Jan – Media sosial digemparkan dengan video tular memaparkan seorang murid perempuan diserang seekor anjing peliharaan dalam satu kejadian di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, hari ini.
Difahamkan, kejadian itu berlaku pada jam 7.27 pagi di salah sebuah kawasan perumahan dan dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV).
Dalam video berkenaan, mangsa berjalan bersama seorang lagi kanak-kanak perempuan dipercayai dalam perjalanan menuju ke sekolah.
View this post on Instagram
Mangsa yang melalui sebuah rumah secara tiba-tiba diserang oleh seekor anjing sehingga terjatuh.
Lebih malang lagi, haiwan peliharaan tersebut terus menyerang mangsa walaupun dia cuba melarikan diri.
Sementara itu, rakan mangsa yang ketakutan dilihat menyembunyikan diri disebalik belakang sebuah kenderaan.
Turut dilihat seorang wanita dipercayai pemilik anjing berkenaan cuba menangkap anjing peliharaan tersebut namun gagal.
Pada masa sama, seorang wanita yang menunggang sebuah motosikal dilihat terus bergegas ke tempat kejadian sebelum seorang lelaki datang membawa sebatang kayu untuk menghalau haiwan tersebut.
Mangsa dan rakannya kemudian dibawa beredar dari tempat kejadian menggunakan motosikal.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Xklusif