(VIDEO) Anwar arah KSM segerakan kemasukan pekerja asing India dalam 3 sektor terpilih
Masyarakat India amnya dan MIC khasnya telah meminta Kerajaan untuk memberi permit kerja untuk pekerja asing dari India dalam sektor tekstil, pekerja restoran dan tukang gunting.

KUALA LUMPUR, Sept 4 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk menyegerakan kemasukan pekerja asing dari India untuk tiga sektor terpilih.
Bercakap di program lestari niaga di Brickfields, Kuala Lumpur, hari ini beliau mengarahkan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar untuk mengemukakan kertas cabinet berkaitan perkara ini pada mesyuarat mingguan kabinet Jumaat ini.
Masyarakat India amnya dan MIC khasnya telah meminta kerajaan untuk memberi permit kerja untuk pekerja asing dari India dalam sektor tekstil, pekerja restoran dan tukang gunting.
View this post on Instagram
Ini adalah disebabkan kekurangan tenaga kerja mahir dalam negara bagi kesemua sektor terbabit.
“Kita mempunyai terlalu ramai pekerja asing. Kadang-kadang kerja ini kita boleh buat jadi sebab itu penguatkusaan (perlu)…gerai-gerai yang diberi kelulusan kepada orang tempatan. Kalau dia ‘sub-let’ kepada orang bukan rakyat Malaysia kita tarik balik lesen gerai itu.
“Seperti Datuk (Seri) Saravanan (Timbalan Presiden MIC dan Ahli Parlimen Tapah) sebut…dia mintak kedai gunting, tekstil dan restoran. Oleh kerana keperluan segera untuk tiga kategori ini kita lulus tidak sepenuhnya.
“Saya minta dalam mesyuarat Jemaah Menteri Jumat ini Menteri (Sumber Manusia ) buat paper (kertas kabinet) untuk kita lulus sebahagian untuk 3 kategori ini,” katanya.
Terdahulu, M. Saravanan yang juga bekas Menteri Sumber Manusia telah meminta Perdana Menteri mempertimbangkan kelulusan untuk sektor tersebut.
“Masyarakat India akan berterima kasih kepada kerajaan jika ini diluluskan dengan segera kerana keadaan dalam ketiga-tiga sektor tersebut amat kritikal,” katanya.
Isu pembekuan pekerja asing: Menteri beri keterangan bercanggah
Sementara itu, Malaysiakini melaporkan bahawa Kementerian Sumber Manusia(KSM) masih belum membuat sebarang ketetapan berhubung pembekuan pengambilan pekerja asing dalam semua sektor.
Sivakumar berkata ini jumlah pekerja asing di Malaysia telah melebihi sasaran yang ditetapkan.
“Kita belum buat ketetapan mengenai pembekuan pekerja asing. Pekerja asing yang ada sekarang ini bukan hanya yang dibawa masuk baru. Tetapi, adalah mereka yang telah lama bekerja di sini dan satu lagi mereka yang terlibat dalam proses rekalibrasi.
“Apabila ketiga-tiga dicampur jumlahnya sudahpun melebihi sasaran yang kita telah tetapkan.
“Jadi, sebab itu kita akan meneruskan pembekuan untuk sementara waktu.
Katanya, pembekuan dibuat untuk memastikan peluang pekerja tempatan tidak terjejas.
Bagaimanapun, kenyataan Sivakumar bercanggah dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution bahawa negara memerlukan sekitar 100,000 pekerja asing, khususnya bagi lima sektor kritikal.
Pembekuan itu dikuat kuasa sejak 18 Mac 2023.
Sivakumar ketika itu mengumumkan permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing termasuk melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing ditangguhkan sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Katanya, ini susulan kerajaan meluluskan sebanyak 995,396 kuota penggajian pekerja asing setakat 14 Mac 2023.
Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan berkata seramai 400,000 pekerja asing sudah dibawa masuk ke negara ini bagi mengisi pekerjaan di lima sektor utama iaitu pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, perladangan dan pertanian.
Dia berkata demikian pada pada 27 Jun, selepas mempengerusi mesyuarat jawatankuasa bersama mengenai pengurusan pekerja asing kelapan yang turut dihadiri Sivakumar.
Menurutnya, angka 400,000 itu adalah hasil dua dasar sebelum ini iaitu kelonggaran bagi kelulusan pekerja asing dan program rekalibrasi awal dilaksana awal tahun ini.
Katanya, walaupun kerajaan akan berusaha untuk mencapai sasaran 500,000 bagi lima sektor dalam suku kedua selepas tidak mencapai pada suku pertama. — Xklusif