Berita

(VIDEO) Bayar di balai polis RM300, kalau bayar sini RM100

JSPT sedang menyiasat seorang anggota yang meminta RM100 kepada pesalah trafik.

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Seorang lelaki dipercayai anggota polis trafik tular di media sosial selepas videonya memberi diskaun terhadap pesalah trafik tersebar.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, anggota itu dilihat menawarkan diskaun bayaran saman terhadap pasangan warga United Kingdom.

“Jam 4.30 petang hari ini, JSPT mengesan video tular di platform YouTube dan lain-lain media sosial mengenai tindakan anggota trafik menyaman dan menawarkan diskaun ke atas pasangan dari United Kingdom (UK) yang sedang melakukan edisi jelajah Malaysia itu.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menyiasat dakwaan itu dan tidak akan bertoleransi ke atas anggota dan pegawai terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Azman berkata, orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi tidak tepat.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kejadian itu diminta menghubungi JSPT melalui bilik gerakan di talian 03-22663356 atau email [email protected].

“Kita akan memaklumkan perkembangan siasatan dan tindakan lanjut akan diambil,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial pasangan itu ditahan kerana didakwa memandu melebihi had laju yang ditetapkan.

Namun, tindakan polis itu memberi diskaun secara tiba-tiba membuatkan warganet mempertikai perkara itu.

“Saya akan berikan kamu surat saman dan kamu pergi ke balai polis untuk membayarnya, jika bayar di balai, RM300, bayar sekarang, RM100,” kata anggota polis trafik tersebut.

Pasangan itu bersetuju untuk membayar secara tunai dan menyerahkan wang tunai berjumlah RM100 kepada polis berkenaan.

Anggota polis tersebut kelihatan mengambil wang berkenaan tanpa memberikan sebarang surat saman. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button