Berita

(VIDEO) Bayi 7 bulan maut, kereta terbabas masuk ke kawasan ditelenggami banjir

Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan.

KUALA LUMPUR 26 Dis. – Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan maut selepas pikap dinaiki bersama keluarganya terbabas sebelum terhumban ke dalam kawasan ditenggalami banjir di Kilometer 372 Lebuh Raya Pantai TImur Dua (LPT2) dekat Bukit Besi di sini, Dungun, Terengganu pada petang semalam.

Mohammad Adam Rayyan Abdul Rahim disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, kira-kira jam 12.25 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir, berkata mangsa menaiki pikap dipandu Mohammad Taufik Babge, 34, bersama isteri, Hamizah Mustapha, 35, serta dua lagi penumpang lain, Nik Muhammad Ariff Al-Iman Nik Mohd Azmi, 20, dan Faresh Rayyan Abdul Rahim, 11.

Katanya, Mohammad Taufik yang juga juruteknik di Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka memandu kenderaan jenis Mitsubishi Pajero Sport dalam perjalanan dari arah Ajil ke Kuantan.

“Semua mereka dipercayai dalam perjalanan dari Kota Bharu untuk pulang ke Pengerang, Johor.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai melanggar lopak air menyebabkannya hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang lebuh raya. Kenderaan terbabit kemudian terhumban ke kawasan yang ditenggelami banjir,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa yang berada dalam pikap itu berjaya diselamatkan oleh pengguna lebuh raya yang melalui kawasan berkenaan.

“Mohammad Taufik cedera di kedua-dua belah kaki, Hamizah cedera ringan di kaki dan dada, manakala Nik Muhammad Ariff Al-Iman dan Faresh Rayyan cedera di dada,” katanya.

“Semua mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan lanjut, manakala Mohammad Adam Rayyan dihantar ke HSNZ sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button