Berita

(VIDEO) Bengkel motosikal musnah terbakar, pemilik rugi RM300,000

Lapan unit premis dua tingkat terdiri daripada empat bengkel motosikal, tiga rumah tidak berpenghuni dan satu kedai makan, musnah dalam kebakaran

GEORGETOWN 8 Sept – Pemilik bengkel motosikal di Jalan Datuk Keramat di sini, kerugian hampir RM300,000 selepas dua unit premis yang diusahakannya musnah dalam kebakaran, malam semalam.

Kejadian kira-kira jam 8 malam itu menyebabkan lapan unit premis dua tingkat terdiri daripada empat bengkel motosikal, tiga rumah tidak berpenghuni dan satu kedai makan, musnah dalam kebakaran.

Pemilik bengkel, Ernie Yeoh Ean Keat, 31, berkata ketika kejadian, dia sedang membaiki motosikal milik pelanggan yang dihantar di kedai itu.

 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Xklusif.my (@xklusif.my)

Katanya, dia menyedari premisnya disambar api apabila terdengar suara jeritan yang meminta orang ramai menyelamatkan diri.

“Saya keluar dari kedai dengan sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan apa-apa barangan termasuk dokumen penting.

“Namun yang penting adalah semua pemilik kedai dan pelanggan yang berada di dalam premis selamat,” katanya.

Ernie berkata, jumlah kerugian yang dialaminya dianggarkan sebanyak RM300,000 membabitkan kemusnahan kira-kira 12 motosikal pelanggan dan alat ganti.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Jamil Abdullah, berkata seramai 61 pegawai dan anggota dari tujuh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 8.04 malam.

“Sebaik pasukan penyelamat tiba, api didapati sedang marak membakar lapan unit premis berkenaan dan dapat dikawal pada jam 10.40 malam.

“Anggota balai bomba yang terbabit ialah BBP Jalan Perak, BBP Lebuh Pantai, BBP Bagan Jermal, BBP Bayan Baru, BBP Bandar Perda, BBP Paya Terubong dan BBP Sungai Bakap,” katanya ketika ditemui di sini.

Jamil berkata, pasukan penyelamat berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke deretan kedai di bahagian belakang premis berkenaan. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button