(VIDEO) Biar satu Pulau Pinang kenal hang, wanita selamba berdiri jaga parking undang kecaman
Seorang wanita dengan selamba menjaga satu ruang parkir kereta di tempat awam dipercayai di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR 7 Julai – Tidak dinafikan usaha mencari tapak parkir kosong di kawasan sesak memerlukan kesabaran yang tinggi.
Namun, adalah menjadi satu kesalahan dari segi adab dan juga undang-undang apabila ada yang mementingkan diri untuk menjaga parkir dengan berdiri di ruang yang kosong.
Itu yang berlaku di Pulau Pinang apabila seorang wanita dengan selamba menjaga satu ruang parkir kereta di tempat awam dipercayai di Pulau Pinang sehingga tular di media sosial sejak semalam.
View this post on Instagram
Melalui video berdurasi satu minit 45 saat itu, seorang individu yang juga perakam kejadian itu berada di dalam kereta diletakkan di sebelah tempat meletak kenderaan yang dijaga wanita tersebut.
Video itu memaparkan wanita berkenaan dilihat dengan selamba tidak membenarkan beberapa kenderaan yang cuba meletakkan kenderaan mereka di ruang terbabit.
“Selalu aku tengok ‘Karen’ orang asyik kongsikan, sekarang betul-betul baru jumpa dia jaga parking. Sebelah kereta aku lagi.
Mana boleh buat macam tu, banyak kereta yang dia halau. Biar satu Penang kenal hang,” menurut suara daripada video terbabit.
Tanpa rasa bersalah, wanita itu terus berdiri di ruang berkenaan biarpun terdapat pemandu kereta lain yang mahu meletakkan kereta di tempat berkenaan.
Malah, wanita itu masih berkeras meneruskan perjuangannya berdiri di tapak berkenaan biarpun terdapat dua kenderaan lain yang diletakkan di sebelah tempat dijaganya sudah meninggalkan kawasan parkir berkenaan.
Warganet yang menyaksikan kejadian itu turut berkongsi pendirian yang sama dengan perakam dengan mengecam tindakan wanita itu yang mementingkan diri.
“Ini namanya pentingkan diri. Siapa cepat dia dapatlah. Bukan kau seorang nak guna parking,” kata Musfirah Hassan.
“Kalau aku yang nak parking situ, aku akan hon panjang-panjang sampai dia malu. Yang geramnya lama pula dia berdiri, kereta yang nak parking tu tak sampai-sampai pula. Baru keluar rumah ke apa?” kata Azfar Ku.
“Aku pernah berdepan dengan situasi ni. Memang hampir bergaduh juga la sebab dia selamba berdiri kat parking, padahal ramai lagi tengah pusing cari parking,” kata Nur Jamilah Kama.
Untuk rekod, tindakan menjaga parking merupakan satu kesalahan Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan ia terpakai di semua kawasan sama ada di tempat awam mahupun di premis swasta termasuk pusat membeli-belah.
Hukuman bagi pesalah cop parking ditetapkan di bawah Seksyen 119 yang membawa penalti tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan bagi kesalahan seterusnya. — Xklusif