Viral

(VIDEO) Budak 3 tahun main skuter maut dirempuh 4WD di Johor Bahru

Kemalangan itu difahamkan berlaku di taman perumahan, Eco Spring, Johor Bahru, Johor.

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Seorang kanak-kanak maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika bermain skuter di dalam sebuah kawasan perumahan di Johor Bahru.

Kemalangan itu difahamkan berlaku di taman perumahan, Eco Spring, Johor Bahru, Johor dan turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di kediaman berdekatan lokasi kejadian.

Berdasarkan klip tersebut, sebuah kenderaan trak pikap berwarna hitam dilihat sedang memasuki sebuah lorong jalan di kawasan tersebut yang ketika itu turut dilalui oleh kanak-kanak tersebut.

Akibat daripada pelanggaran tersebut, mangsa terperosok di bawah kereta terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian pada jam 6.30 petang Jumaat lalu itu dan memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan.

“Pemandu kenderaan pacuan empat roda yang berusia 32 tahun sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya hari ini.

Kanak-kanak terbabit dipercayai maut di tempat kejadian, manakala pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam pada itu, difahamkan pemandu trak pikap berkenaan dipercayai adalah orang luar dan bukan residen taman perumahan berkenaan.

Pemandu kenderaan itu dikatakan adalah kontraktor yang dipercayai mempunyai kerja-kerja pembinaan dan ubah suai di taman perumahan itu. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button