Viral

(VIDEO) Budak berkopiah tikam pemandu e-hailing di Sungai Petani

Menerusi video berdurasi lebih seminit itu, suspek yang memakai baju dan berkopiah putih sedang duduk di bahagian belakang tempat duduk penumpang

SUNGAI PETANI 28 Nov – Seorang pemandu e-hailing berdepan detik cemas apabila ditikam oleh budak berusia 13 tahun yang menggunakan senjata tajam dalam kejadian di Sungai Petani, Kedah.

Berdasarkan maklumat dipaparkan pada kamera papan pemuka milik pemandu terbabit, insiden berkenaan difahamkan berlaku pada sekitar pukul 6.20 petang semalam.

Menerusi video berdurasi lebih seminit itu, suspek yang memakai baju dan berkopiah putih sedang duduk di bahagian belakang tempat duduk penumpang.

Dalam rakaman tersebut, mangsa turut kedengaran memarahi suspek yang memintanya untuk berhenti berulang kali di beberapa destinasi walaupun tidak berhasrat untuk turun.

Bagaimanapun, sebaik pemandu tersebut memberhentikan kenderaan untuk menurunkannya, suspek dilihat mengeluarkan alat dipercayai pisau dan cuba menikam ke arah dada pemandu terbabit.

Suspek seterusnya dilihat bergelut selepas pemandu lelaki berkenaan didapati cuba menangkis serangan dilakukan.

“Kejadian di Sungai Petani, Kedah. Harap-harap pisau itu tak tertusuk ke dalam. Allahuakbar. Budak-budak lagi dah berani,” tulis ciapan yang berkongsikan video tersebut di platform X.

Bagaimanapun pemandu e-hailing berusia 65 tahun itu sempat merampas pisau serta menggigit tangan remaja itu untuk mempertahankan diri sebelum suspek melarikan diri. Sementara itu,

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata berdasarkan laporan, warga emas terbabit menerima pesanan melalui aplikasi Grab jam 5.43 petang semalam untuk mengambil penumpang terbabit di Lorong Taman Keladi, di sini.

Sewaktu dalam perjalanan ke Bandar Sri Astana, penumpang iaitu remaja lelaki terbabit meminta meminjam wang RM50 untuk membayar sewa rumah.

“Bagaimanapun pemandu itu memberitahu jika tiada wang dia terpaksa menurunkan penumpang terbabit di lokasi berkenaan, namun remaja terbabit enggan dan meminta membawanya ke rumah di Bandar Sri Astana untuk mengambil wang bagi membayar tambang itu.

“Namun sampai di rumah berkenaan, remaja terbabit meminta membawanya semula ke Taman Keladi dan menerima bayaran RM18 daripada remaja berkenaan dan turut melengahkannya kerana membawanya ke beberapa lorong kecil.

“Pengadu terpaksa menurunkan penumpang di lokasi berkenaan dan meminta bayaran tambahan RM9 dan penumpang itu memberikan wang RM20,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaidy berkata, sewaktu pemandu itu mahu memulangkan baki, penumpang mengacukan sebilah pisau ke dada kiri dan mahu merampas wang dari poket pemandu namun warga emas itu sempat merampas pisau serta menggigit tangan untuk mempertahankan diri dan suspek melarikan diri.

Berikutan itu, polis merampas sebilah pisau berhulu hitam berukuran 25 sentimeter (cm) yang dibawa remaja lelaki berkenaan dan ditinggalkan di tempat kejadian.

Zaidy berkata, hasil siasatan mendapati, remaja lelaki itu adalah anak sulung daripada empat beradik dan bukan kalangan keluarga bermasalah.

Kejadian dipercayai berpunca suspek marahkan pemandu terbabit kerana dimaki dan cuba ambil semula wang bayaran tambang menyebabkan dia bertindak demikian.

“Selain itu terdapat rakaman melalui dashcam yang dipasang dalam kenderaan e-hailing berkenaan.

“Remaja lelaki itu ditahan jam 10 malam tadi selepas dua jam laporan polis dibuat pemandu e-hailing pada jam 8 malam tadi,” katanya sambil menambah pemandu e-hailing tidak cedera. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button