Berita

(VIDEO) Budak dirempuh dua kenderaan sampai berlipat badan selepas jatuh dari kereta

Kejadian itu dipercayai berpunca apabila kanak-kanak itu membuka pintu yang tidak berkunci di bahagian penumpang belakang

KUALA LUMPUR 17 Okt – Tular sebuah video mencemaskan apabila seorang budak lelaki berusia 3 tahun terjatuh dari sebuah kereta ketika kenderaan terbabit sedang membuat pusingan U di sebuah jalan raya, hari ini.

Kejadian itu dipercayai berpunca apabila kanak-kanak itu membuka pintu yang tidak berkunci di bahagian penumpang belakang sebelum terjatuh di tengah jalan ketika kereta sedang bergerak.

Lebih malang apabila kanank-kanak itu kelihatan panik sebelum dirempuh dua kereta yang gagal mengelak daripada melanggarnya.

 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Xklusif.my (@xklusif.my)

Menyedari kejadian itu, beberapa penunggang motosikal kemudiannya terus meluru ke arahnya untuk memberikan bantuan.

Kanak-kanak terbabit kelihatan terpinga-pinga dan masih lagi boleh berdiri dan terus berlari ke arah seorang penunggang yang berada di kawasan itu.

Susulan insiden tersebut, laluan terbabit bertukar sesak dan kereta yang membawa kanak-kanak itu tidak kelihatan selepas daripada kejadian berkenaan.

Di ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa marah terhadap kejadian yang menimpa kanak-kanak malang itu.

“Sepanjang video ni aku berdebar. Macam mana mak ayah atau penjaga boleh tak perasan pintu tak kunci?,” Faiza Zul.

“Ni kes cuai. Walau kita ingat budak-budak takkan bukak pintu, bila jadi macam ni siapa nak tanggung? Nasib baik budak ni umur panjang lagi,” kata Aryan Isa.

“Nak salahkan kereta yang langgar pun tak boleh. Budak tu kecik, tak nampak dari depan. Nasib baik semua tak laju,” kata Hana Kimchi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, pihak polis menyedari kejadian itu selepas mengesan rakaman video terbabit tular di Facebook pada 11 malam tadi.

Menurutnya, video itu memaparkan kemalangan membabitkan seorang kanak-kanak lelaki yang dianggarkan berusia lingkungan tiga tahun tercampak keluar dari kereta dinaikinya ketika membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat berdekatan sebuah pasar raya.

“Kemalangan berlaku dipercayai akibat kegagalan pemandu kereta yang dinaiki oleh kanak-kanak itu untuk memastikan pintu penumpang sebelah kiri ditutup dengan kemas serta tidak memastikan kanak-kanak itu memakai tali pinggang keledar.

“Usaha mengesan kenderaan terbabit serta kanak-kanak itu masih dijalankan. Setakat ini tiada laporan yang dibuat mengenainya,” katanya.

Mohd Suhaimi berkata, siasatan mengenai kejadian berkenaan sedang dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau menyeru orang ramai yang melihat kejadian itu, pemandu yang terbabit dan perakam video berkaitan diminta tampil untuk membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Khairul Anuar Abdul Aziz di talian 09-7752355.

“Pihak polis juga menggesa orang ramai supaya berhati-hati dalam pemanduan semasa menggunakan jalan raya dan mematuhi undang-undang serta isyarat lalu lintas yang berkuatkuasa di negara ini,” katanya. Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button