(VIDEO) Budak main basikal hingga ke jalan nyaris kena rempuh di Sepang
Budak berkenaan dilihat seorang diri tanpa pengawasan oleh orang dewasa

KUALA LUMPUR 30 Okt – Tular sebuah video seorang kanak-kanak lelaki bermain basikal sehingga mengundang rasa cemas warganet apabila dia nyaris dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Jenderam, Sepang, Selangor, semalam.
Dalam video berdurasi 34 saat itu memaparkan budak terbabit sedang mengayuh basikal tanpa pengawasan orang dewasa hingga ke laluan jalan raya.
Ia turut memaparkan sebuah kereta yang bergerak laju di laluan itu hampir merempuh kenak-kanak tersebut namun berjaya dielak oleh si pemandu dengan menekan brek ketika kejadian.
View this post on Instagram
Biarpun kanak-kanak itu terselamat daripada kemalangan, namun ia satu situasi yang sangat berbahaya dan kecuaian ibu bapa boleh menjadi punca kepada insiden berkenaan.
Menjengah di ruangan komen, komen rata-rata warganet meluahkan rasa kesal dan marah terhadap ibu bapa kanak-kanak terbabit yang cuai dan tidak memantau pergerakan anaknya.
“Kalau kena langgar mesti pemandu kereta yang kena dakwa. Tapi mak ayah sendiri tak jaga anak tu,” kata Zulaika Husin.
“Kenapa boleh terlepas budak ni sampai ke tengah jalan? Siapa yang jaga dia kat rumah? Nak luruh jantung aku tengok budak ni main seorang diri,” kata Aurora Min.
“Kes cuai ni. Nasib baik kereta tak banyak sangat dan pemandu yang rakam ni alert dengan budak ni. Kalau ada yang main telefon memang dah habis nyawa budak ni, ” kata Yusoff B.
Dalam pada itu, pemandu kenderaan itu menjelaskan bahawa tiada sebarang kecederaan dialami oleh kanak-kanak terbabit yang kemudiannya didatangi dua individu dipercayai ibu bapanya ketika kejadian.
Tiada sebarang kenyataan polis dilaporkan berhubung perkara itu setakat ini dan insiden terbabit juga dipercayai selesai tanpa sebarang laporan dibuat di mana-mana balai berhampiran. – Xklusif