Viral

(VIDEO) Dah 30 minit bertolak baru perasan anak merajuk tertinggal di ‘homestay’

Menerusi video itu, kedengaran suara cemas ibu kanak-kanak itu selepas menyedari anaknya tiada bersama

KUALA TERENGGANU 28 Dis – “Maafkan ibu dan papa adik, kami tak sengaja.” Demikian luah Nurul Fazliana Saffian, 32, yang berasa bersalah selepas tidak sengaja meninggalkan anak bongsunya, Khayra Afeeya Mohd Raziki, 3, di sebuah inap desa di Kok Lanas, Kelantan.

Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas Nurul Fazliana berkongsi rakaman video dashcam atau papan pemuka kenderaan di TikTok yang meraih lebih 4.2 juta tontonan.

Bercerita lanjut, Nurul Fazliana dari Bukit Tunggal, di sini berkata, kejadian itu berlaku Ahad lalu ketika dia sekeluarga mendaftar keluar daripada inap desa selepas tiga hari dua malam menginap di situ.

“Kisahnya, saya dan keluarga ke Kelantan untuk membawa ayah pergi berubat bagi merawatnya yang menghidap angin ahmar.

“Kami semua menginap di sebuah inap desa dan nak dijadikan cerita, Khayra (anak bongsu) merajuk sebelum kami mendaftar keluar.

“Saya nampak Khayra sembunyi di belakang langsir dan minta suami pujuk namun mungkin dia (suami) tak perasan sampai kami semua bergerak pulang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Xklusif.my (@xklusif.my)

Katanya, ketika dalam kenderaan, dia dan suaminya, Mohd Raziki Nordin, 37, masih tidak menyedari ketiadaan Khayra Afeera sehingga selepas 30 minit bergerak pulang.

“Tapi mungkin Allah nak jentik hati, saya ternampak kuda di tepi jalan ketika dalam perjalanan.

“Jadi waktu itu saya panggil Khayra supaya tengok kuda namun Khayra tak menyahut dan selepas toleh belakang baru sedar dia tidak berada di tempat duduk.

“Memang cemas sangat jadi saya terus menghubungi adik yang memandu kereta di belakang kerana ingat Khayra ada bersamanya tapi tiada.

“Tanpa berlengah, suami terus berpatah balik dan memandu laju untuk kembali ke inap desa untuk mengambil Khayra kerana risau memikirkan dia bersendirian,” katanya.

Setibanya di inap desa, Nurul Fazliana terus mengambil kunci yang diletakkan di peti surat dan membuka pintu inap desa.

“Selepas buka saja pintu, saya nampak Khayra sudah tercegat di depan (pintu) mungkin kerana menunggu kami.

“Saya terus memeluknya dan Khayra tak menangis tapi bajunya penuh dengan muntah. Mungkin dia baru lepas menangis juga sampai muntah tapi lega apabila nampak kerana Khayra dalam keadaan baik.

“Jujurnya bila tengok muka Khayra saya rasa bersalah sangat kerana kasihan dan sebab itu saya berulang kali minta maaf dengannya sebab memang tak sengaja,” katanya.

Menurut Nurul Fazliana, pelbagai reaksi diterima selepas berkongsi dan menceritakan perihal kejadian itu di TikTok.

“Ramai bagi kata semangat dan ramai juga kecam tapi saya akui memang salah saya sebab cuai kerana terlepas pandang.

“Niat saya berkongsi video itu pula supaya ibu bapa lain beringat dan jadikan kisah kami sebagai iktibar.

“Ia kerana saya sendiri tak sangka kejadian tempoh hari boleh berlaku sedangkan anak rapat dengan saya dan suami serta selalu borak setiap kali naik kereta tapi itulah, benda nak jadi…,” katanya. – Harian Metro

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button