Viral

(VIDEO) Gadis kembang tekak dapat nasi lemak lauk ‘sambal cicak’

Pada mulanya, cicak tersebut disangka ikan bilis.

KUALA LUMPUR 5 Julai – Niat seorang gadis ingin menikmati nasi lemak yang dibeli tepi jalan terbantut apabila menemui seekor cicak yang disangka ikan bilis dalam bungkusan makanannya itu.

Gadis yang dikenali sebagai Fatihahh itu memuatnaik kejadian meloyakan itu menerusi akaun TikTok miliknya menunjukkan dengan jelas haiwan itu betul-betul diletakkan atas nasi lemak berkenaan.

Gadis itu turut merakam perbuatannya menguis cicak itu menggunakan sudu untuk memastikan jika ia benar-benar haiwan berkenaan atau sebaliknya.

“Berniaga boleh tak jangan pengotor sangat? Pengotor tahap apa cicak sebesar alam boleh ada dalam nasi lemak.

“Hilang selera makan aku,” tulisnya menerusi kapsyen.

Video berkenaan turut meraih lebih 700,000 tontonan sejak berita ini ditulis sementara lebih 4,000 komen sejak ia tular semalam.

Warganet yang menyaksikan video berkenaan turut meluahkan rasa loya dan jijik apabila haiwan berkenaan yang masih cukup sifat berada dalam makanan kegemaran rakyat Malaysia itu.

“Kalau aku yang dapat ni memang melompat terus. Dah tak fikir nak rakam apatah lagi nak masuk dalam TikTok. Terlalu jijik nak tengok pun,” kata Aisyah Muhd.

“Boleh pulak dapat sambal cicak. Jarang-jarang dapat ni, yang bertuah je boleh dapat. Apa-apa pun tak kisahlah sibuk macam mana pun, peniaga kena teliti bab kebersihan,” kata Ashraf Zam.

“Saya pernah dapat lauk sambal lalat dan lipas. Bukan kedai yang sama la tapi sampai sekarang kalau teringat auto loya tekak ni. Tabahlah ya sis,” kata Nur Azidah. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button