Viral

(VIDEO) Ibu ‘terdesak’ curi kotak pensil RM18 nak beri hadiah anak nombor 1

Wanita itu apabila tertangkap kerana mencuri hadiah untuk anaknya di sebuah pasar raya.

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Namun, berbeza bagi kes seorang ibu di Sentul yang ‘terpaksa’ mencuri bagi menggembirakan hati anaknya.

Akibat kekangan kewangan, ibu berkenaan terdesak untuk mengotakan janji menghadiahkan kotak pensel jika anaknya itu mendapat nombor 1 di sekolah.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi wanita itu apabila dia tertangkap kerana mencuri hadiah untuk anaknya di sebuah pasar raya.

Lebih menyedihkan, barang dicurinya itu cuma kotak pensil berharga RM18.

Kisah menyentuh perasaan itu diceritakan oleh seorang peguam jenayah, Ahmad Zaharil Muhaiyar yang terjadi kira-kira 25 tahun lalu apabila secara tidak sengaja terjumpa wanita berkenaan di mahkamah.

“Saya tak akan lupakan satu kes di mana pada tahun 1988, kira-kira pada pukul 11 pagi, bulan tak ingatlah. Saya duduklah di mahkamah, saya seorang sajalah di mahkamah itu.

“Kemudiannya, satu perempuan India telah pun dibawa dengan gari. Jadi saya bangun, saya tanya, puan, Apa masalah kamu? Kemudian dia cakap saya curi.

“Alamak, pasal apa curi? Dia kata saya janji sama anak bila dia dapat nombor satu saya bagi kotak pensel yang lengkap.

“Berapa ringgit itu kotak pensel? Dan kotak pensel itu berharga lebih kurang RM18,” katanya.

Bagi memastikan pelajar itu mendapat nombor satu di sekolah, Ahmad Zaharil bergegas ke sekolah dan bertanya sendiri guru besarnya.

“Jadi bila saya jumpa dengan guru besar tersebut, saya tanya tentang budak ini.

“Itu dia keluarkan kad laporan. Kad laporan itu menunjukkan budak itu memang nombor satu.

“Alamak saya pun sedihlah,” katanya.

Peguam jenayah itu kemudian kembali ke mahkamah dan menawarkan diri mewakili wanita itu secara percuma.

Malah, guru besar itu turut dibawa bersama sebagai saksi.

“Jadi lepas itu, saya pun berhujah dan sebagainya. Kemudiannya, saya tunjukkan kad laporan nombor satu,” katanya.

Majistret bertugas, kata Ahmad Zaharil, kemudian hanya memberikan hukuman ringan berkelakuan baik selama beberapa tahun.

Selesai semua, bukan saja berkhidmat secara percuma, Ahmad Zaharil malah memberikan wang kepada wanita untuk membantu kewangan wanita itu.

“Saya bagilah duit sekitar RM100, RM50. Saya bagi. Lepas itu ada seorang dua lagi bagi.

“Saya dapat lebih kurang RM200 (untuk diserahkan pada wanita itu),” katanya.

Ahmad Zaharil bagaimanapun menganggap kes berkenaan selesai disitu saja dan menjalani hidup seperti biasa.

Tanpa disangka, beberapa tahun selepas itu, ketika peguam berkenaan duduk di kantin mahkamah, dia perasan ada seseorang memerhatikannya.

Hanya selepas hari ketiga dia datang menemuinya.

“You mungkin tak ingat sir. Tapi saya adalah budak yang hendakkan kotak pensel tersebut,” katanya.

Lebih menyentuh hati, budak itu mendedahkan dia juga menjadi seorang peguam sepertinya.

“Berjurai air mata saya. Saya pun tak tahu apa yang patut saya lakukan.“Tapi sebabkan saya menolong dia, budak itu dah menjadi seorang peguam,” katanya.

Ahmad Zaharil kemudian mendedahkan hubungan mereka menjadi lebih akrab selepas itu.

“Dan baru-baru ini pun saya jumpa dengan dia, dia cium tangan saya.

“Dan saya pun pernah berjumpa dengan mak dia. Saya pergi ke rumah dia dan sebagainya,” katanya.

Kisah Ahmad Zaharil itu kini dikongsi meluas di media sosial dan dihujani pelbagai pujian oleh orang ramai.

“Sebak betul dengar encik berkongsi kisah ini. Kejadian yang tidak mungkin orang akan tahu jika tidak diceritakan. Terima kasih kerana menjadi orang yang baik dan tidak menghukum daripada satu kesalahan,” kata Noraina Ahmad. 

“Desakan hidup membuatkan seseorang lakukan perkara diluar jangkaan. Syukur bila dapat jumpa yang betul di waktu yang tepat. Syabas tuan peguam,” kata Hasril H. 

“Semua yang terjadi ada hikmahnya. Saya percaya ibu itu tidak mahu mencuri tapi tak nak kecewakan anaknya yang dah berusaha keras,” kata Aryan Mus. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button