(VIDEO) Kasari orang awam di restoran, Ketua Balai Polis disiasat
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya mengesan rakaman video berdurasi 37 saat itu yang tular di media sosial, aplikasi X

JOHOR BAHRU 12 Jan – Polis Johor akan menjalankan siasatan susulan video tular di media sosial memaparkan seorang individu dipercayai seorang ketua polis balai melakukan kekerasan terhadap seorang lelaki di tempat awam.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya mengesan rakaman video berdurasi 37 saat itu yang tular di media sosial, aplikasi X.
View this post on Instagram
“Video tular itu dikesan pada jam 3.11 petang tadi dengan turut memetik nama pegawai polis terbabit berserta jawatannya.
“Kita akan menyiasat perkara ini dengan terperinci dan menggesa orang awam atau saksi kejadian untuk tampil membuat laporan dan menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
“Tindakan mengikut undang-undang akan diambil terhadap pihak berkaitan tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, berdasarkan video tular berkenaan, individu terbabit yang dikatakan sebagai ketua polis balai dilihat mengasari seorang lelaki yang sedang duduk dipercayai di sebuah restoran.
Dalam video itu, suspek dilihat menampar lelaki terbabit sebanyak sembilan kali sambil menarik rambut mangsa.
Antara ayat yang dilemparkan pegawai polis berkenaan ‘kau banyak kali buat he?’; ‘bulan puasa ke bulan apa ni?’; ‘dah tak puasa, mencuri lagi?’; ‘bodoh’; ‘bangsat kau’; ‘telefon bapa kau, telefon bapa kau sekarang, cepat telefon bapa kau’. – Xklusif