Dunia

(VIDEO) Kebakaran terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat, 93 terkorban di Hawaii

Kebakaran hutan Maui adalah kebakaran yang meragut nyawa terbesar dalam sejarah moden Amerika Syarikat

MOSCOW 14 Ogos – Angka kematian akibat kebakaran di Hawaii, Amerika Syarikat meningkat kepada 93 orang, lapor Reuters memetik kenyataan Gabenor Hawaii Josh Green.

Berdasarkan angka kematian itu, kebakaran hutan Maui adalah kebakaran yang meragut nyawa terbesar dalam sejarah moden Amerika Syarikat, mengatasi kebakaran Camp Fire California yang mengorbankan 85 orang pada 2018.

Semalam, wilayah Maui dalam kenyataan berkata usaha memadam kebakaran masih diteruskan di Lahaina, Pulehu/Kihei dan Upcountry Maui, yang merekodkan 93 kematian.

 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Xklusif.my (@xklusif.my)

 

Rakaman video menunjukkan kebakaran di kawasan kejiranan dan perniagaan musnah selain kenderaan terbakar ketika api yang marak membakar hutan menutup kebanyakan jalan keluar dari Lahaina.

Pekan itu adalah salah satu tarikan pelancongan utama Maui yang menarik kira-kira dua juta pelancong ke pulau itu setiap tahun atau 80 peratus daripada pelawat pulau berkenaan.

Kebakaran hutan yang berlaku minggu lalu itu, mengejutkan kebanyakan penduduk Lahaina dan pelawat sehingga memaksa beberapa orang lari menyelamatkan diri dan terjun ke laut untuk melarikan diri dari api yang merebak dengan pantas.

Sekurang-kurangnya 16 jalan raya ditutup, namun lapangan terbang beroperasi sepenuhnya.

Gabenor Josh Green berkata Hawaii tidak pernah mengalami bencana dan kematian yang begitu besar sejak 1960, setahun selepas ia menjadi sebahagian daripada AS, apabila tsunami mengorbankan 61 orang.

Honolulu Star-Advertiser melaporkan kira-kira 271 struktur rosak atau musnah.

Punca kebakaran hutan Maui belum dapat ditentukan, bagaimanapun Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata tumbuh-tumbuhan kering, angin kencang, dan kelembapan rendah mendorong kejadian itu.

Profesor geografi alam sekitar di London School of Economics and Political Science, Thomas Smith, berkata kebakaran hutan berlaku setiap tahun di Hawaii, namun kejadian tahun ini berlaku lebih cepat dan lebih besar daripada biasa.

Anggota bomba kini sedang memadamkan tiga kebakaran besar di lokasi berasingan di pulau itu.

Kebakaran turut memusnahkan bahagian Kula, kawasan perumahan di kawasan pedalaman Upcountry, dan Kihei di Maui Selatan.

Kebakaran Maui yang bermula pada lewat malam Selasa lalu bertambah marak dengan pantas akibat tiupan angin kencang dari Taufan Dora dan menjelang Khamis, sebahagian besar angin kencang sudah reda.

Kira-kira 11,000 rumah dan perniagaan terputus bekalan elektrik di Maui, yang mempunyai 165,000 penduduk tetap. – REUTERS

 

Artikel Berkaitan

Back to top button