Berita

(VIDEO) Kes lelaki maut di Langkawi diklasifikasikan semula sebagai bunuh

Tindakan itu dibuat selepas pihaknya dimaklumkan mengenai laporan patologi berkenaan oleh Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini

ALOR SETAR 6 Feb – Polis mengklasifikasikan semula siasatan kes kematian seorang lelaki di Langkawi pada Khamis lalu daripada laporan kematian mengejut kepada menyebabkan kematian dan pembunuhan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, berkata beliau sudah mengarahkan siasatan diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 304 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas keputusan bedah siasat awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan tumpul di kepala.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya dimaklumkan mengenai laporan patologi berkenaan oleh Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

“Saya sudah mengarahkan supaya pegawai daripada kontinjen polis negeri mengambil alih siasatan daripada polis Langkawi bagi mengelak sikap berat sebelah.

“Kami sedang menyiasat kes itu dari semua sudut secara adil dan tidak akan ada penutupan kes,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Xklusif.my (@xklusif.my)

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kedah, Senior Asisten Komisioner Adzli Abu Shah; pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Azhar dan Ketua Polis Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari.

Ahad lalu, media melaporkan keluarga mangsa yang dikenali sebagai Mohd Hafiz Salleh menuntut keadilan berhubung kematiannya selepas dia didakwa diserang anggota polis ketika ditahan di sebuah stesen minyak di Ayer Hangat, pada Isnin lalu.

Melalui catatan Facebook, kakak lelaki itu, Salwana Salleh berkata, arwah meninggal dunia akibat kecederaan di kepala dua hari selepas dimasukkan ke Hospital Sultanah Malihah (HSM) di Langkawi.

Dilaporkan dalam satu video tular, sekumpulan sekurang-kurangnya tujuh anggota polis berpakaian preman dilihat menggunakan kekerasan ketika menahan lelaki dipercayai Mohd Hafiz dengan seorang daripada mereka dilihat menendang belakang lelaki itu sebelum menggarinya dan membawanya pergi.

Pada bahagian akhir video itu, Mohd Hafiz dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) untuk rawatan lanjut sebelum meninggal dunia dua hari kemudian akibat kecederaan dialaminya.

Fisol berkata, sehingga kini, polis sudah merekodkan keterangan daripada semua enam anggota polis yang terbabit dalam penahanan itu dan tujuh saksi.

Sementara itu, mengulas kejadian itu, beliau berkata, lelaki terbabit sebenarnya ditahan ketika ‘Ops Tapis Khas’ oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pada 29 Januari lalu.

Katanya, polis cuba menahan suspek berusia 31 tahun itu selepas dia dikesan berkelakuan mencurigakan tetapi bergelut ketika penahanan itu berlaku.

“Ketika proses itu berlaku pergelutan dan suspek mengalami kecederaan di kening kanan dan telinga, leher kiri, lutut serta lengan, manakala tiga anggota polis yang terbabit dalam tangkapan itu turut cedera ringan.

“Polis menemui satu straw mengandungi heroin seberat kira-kira 0.21 gram pada suspek.

“Dia kemudian dibawa ke IPD Langkawi untuk ujian saringan awal air kencing yang mendapati dia positif morfin,” katanya.

Fisol berkata, pada jam 8 malam hari sama, polis membawanya ke Klinik Kesihatan Kuah untuk merawat kecederaannya, tetapi lelaki itu tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri ketika berada di klinik.

“Dia dikejarkan ke HSM dan dimasukkan ke zon merah wad kecemasan, namun kira-kira jam 12.40 tengah hari pada 1 Februari lalu, kami dimaklumkan beliau sudah meninggal dunia,” katanya.

Fisol berkata, hasil bedah siasat dijalankan di HSB Alor Setar keesokan harinya mengesahkan lelaki itu meninggal dunia akibat kecederaan tumpul di kepala.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menghubungi keluarga secara peribadi untuk memberi taklimat mengenai kes itu dan memaklumkan polis sedang menyiasat kes itu.  – Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button