(VIDEO) Kilat sambar menara jam, hujan ribut di Makkah
Kilat dan hujan yang melanda turut menyebabkan tiang elektrik runtuh di Jalan Asfan, timur laut Jeddah

JEDDAH 23 Ogos – Cuaca hujan dan ribut di Makkah semalam menyaksikan fenomena kilat menyambar Menara jam Abraj Al-Bait Towers kira-kira jam 8 malam waktu tempatan semalam.
Jemaah yang berada berhampiran bangunan itu juga berkongsi gambar dan rakaman kejadian itu di laman sosial yang memaparkan petir yang tebal mengenai bahagian atas menara jam Makkah dan menerangi langit.
Menara jam Abraj Al-Bait Towers dikenali sebagai Makkah Clock Royal Tower (Menara Jam Diraja Mekah) adalah sebuah kompleks utama di Kota Suci Makkah.
View this post on Instagram
Tapak kompleks menara jam tersebut menempatkan bangunan kediaman dan kompleks hotel yang terdiri daripada tujuh menara gergasi terletak di seberang jalan ke selatan dari pintu masuk ke Masjidil Haram (Haram al-Sharif) yang menempatkan Kaabah.
Dalam video yang dikongsi juga kelihatan orang ramai cuba mencari perlindungan semasa hujan lebat berserta angin kuat di Makkah.
Pusat Meteorologi Kebangsaan di Arab Saudi mengumumkan bahawa awan petir kumulus akan berada di kawasan Asir, Jazan, Al-Baha, dan Makkah, dan akan bergerak ke arah barat, dengan jangkaan hujan sederhana hingga lebat dengan hujan batu dan risiko lebat hujan dan angin kencang.
Hujan dengan angin ribut yang melanda turut menyebabkan tiang elektrik runtuh di Jalan Asfan, timur laut Jeddah.
Jeddah dan kawasan lain di Saudi juga menyaksikan cuaca ribut; dengan video tersebut merakamkan kejadian tiang elektrik runtuh akibat angin dan hujan lebat di Jalan Asfan, di timur laut Jeddah. – Agensi