(VIDEO) Lelaki hilang tiga hari ditemui maut dalam parit di Batu Pahat
Lelaki berkenaan menghidap penyakit sawan

BATU PAHAT 18 Sept – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu ditemui mati dalam parit di Taman Wira Jaya, dekat Parit Lapis Sempadan, semalam.
Mayat Nazrul Ajis, 21, ditemukan penduduk kampung bersama motosikalnya jam 11.45 pagi.
Kembarnya, Fazrul berkata adiknya yang menghidap sawan itu dikatakan keluar rumah sejak Khamis lalu sebelum gagal dihubungi dan usaha mengesannya juga tidak berhasil.
“Sehingga sekitar jam 11.45 pagi tadi, kami mendapat panggilan mengenai penemuan mayat berserta motosikal dalam parit itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
View this post on Instagram
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata mayat mangsa ditemukan dengan lengkap berpakaian dalam keadaan terlentang.
“Sepasukan bomba dan penyelamat diketuai Ketua Balai Bomba Ayer Hitam, Mohd Shamin Mohd Salikin membantu mengeluarkan mayat mangsa dan motosikalnya.
“Berdasarkan keadaan mayat ditemui, mangsa dipercayai meninggal dunia lebih daripada sehari,” katanya. – Berita Harian