(VIDEO) Lelaki nekad terjun Jambatan P Pinang lepas tertolak teman wanita
Pasangan tersebut dilihat bergaduh mulut terlebih dahulu sebelum lelaki berkenaan didakwa secara tidak sengaja menolak kekasihnya itu sehingga terjatuh dari jambatan tersebut

KUALA LUMPUR 15 Jan – Suasana kecoh berlaku di Jambatan Pulau Pinang malam tadi apabila seorang lelaki nekad terjun selepas dipercayai tertolak teman wanitanya sampai terjatuh Jambatan Pulau Pinang pada Isnin.
Melalui maklumat awal yang dikongsikan warganet, kedua-dua pasangan tersebut dilihat bergaduh mulut terlebih dahulu sebelum lelaki berkenaan didakwa secara tidak sengaja menolak kekasihnya itu sehingga terjatuh dari jambatan tersebut.
“Kejadian petang tadi (Isnin), di atas jambatan Pulau Pinang. Info kata lelaki dan perempuan bertengkar dan lelaki itu tolak mangsa jatuh ke bawah sebelum dia pula terjun.
“Geng motosikal nampak kejadian itu,” menurut maklumat yang dikongsikan itu.
Pada masa sama, tular video memaparkan kereta dan lokasi kejadian kedua-dua pasangan kekasih tersebut dilihat bertengkar sesama sendiri.
View this post on Instagram
Orang awam turut mengerumuni tempat tersebut dan turut tular satu video memaparkan seorang lelaki terapung menunggu untuk diselamatkan di lokasi kejadian.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Pegawai Bomba Kanan II, Shahrul Munawer Taharen berkata, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.49 malam.
“Kejadian berlaku di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang dari pusat bandar ke Perai.
“Kedua-dua mangsa yang berusia lingkungan 30-an menaiki sebuah kereta Honda Civic dan dikatakan telah bertengkar.
“Pertengkaran itu berlarutan sehingga di kawasan hentian di atas jambatan. Akibat daripada pertengkaran itu, kedua-dua mangsa telah terjatuh ke dalam laut. Ketika itu, ada seorang lelaki di lokasi kejadian telah terjun untuk menyelamatkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Shahrul Munawer lagi, pada masa yang sama, sebuah bot nelayan turut berada di lokasi mangsa terjatuh.
“Kedua-dua mangsa telah diselamatkan oleh orang awam (lelaki terbabit) yang terjun itu. Lelaki berkenaan telah membawa mangsa untuk naik ke atas bot nelayan yang lalu dibawa ke Jeti Batu Uban.
“Kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada pukul 8.35 malam,” katanya. — Xklusif