(VIDEO) Lelaki sakit mental selamba bakar enam kereta di Klang
Beberapa video kejadian itu turut tular di laman sosial apabila berjaya dirakam menerusi kamera perakam video (dashcam) kereta yang dibakar.
KUALA LUMPUR 14 Julai – Enam kereta menjadi mangsa khianat apabila seorang lelaki kurang siuman membakar kesemua kenderaan itu di Jalan Batu Nilam 3, Bandar Bukit Tinggi, Klang, semalam.
Kejadian itu turut menyebabkan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun melecur di tangan ketika cuba memadamkan kebakaran tersebut.
Beberapa video kejadian itu turut tular di laman sosial apabila berjaya dirakam menerusi kamera perakam video (dashcam) kereta yang dibakar.
View this post on Instagram
Warganet yang menyaksikan video tular itu turut meluahkan rasa terkejut dan takut dengan kejadian itu yang tidak sepatutnya berlaku dan mangsa terpaksa menanggung kerugian yang tinggi.
“Tak pasal-pasal pemilik kereta kena tanggung rugi sebab ada orang macam ni. Kau dah kenapa nak bakar kereta orang macam tu?,” kata Muhd Samsul.
“Orang macam ni tak patut dibiarkan berkeliaran. Ini diabaru bakar kereta, kalau dia buat benda lain? Hujung-hujung cakap OKU, masa tu mesti terlepas hukuman,” kata Noor Nabila.
“Dah rasa takut nak park kereta kat mana-mana lepas ni. Kita tak tahu apa yang akan jadi. Tiba-tiba orang kurang siuman datang, bakar kereta,” kata Qaisara Ed.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, seramai lima anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 1.11 tengah hari.
“Pemeriksaan mendapati enam kereta masing-masing jenis Nissan Sentra, Perodua Bezza, Axia dan Myvi selain Mazda 2 dan Proton Saga terbakar.
“Ketika kejadian seorang lelaki yang juga pemilik sebuah kereta cuba memadamkan kebakaran namun melecur di tapak tangan,” katanya.
Jelas Mohamadul Ehsan, siasatan awal mendapati seorang individu kurang siuman dipercayai membakar tiga kereta di kawasan itu.
Tambah beliau, lelaki itu kemudiannya dikatakan membakar kereta lain yang semuanya terbakar antara 15 hingga 40 peratus.
“Bomba bagaimanapun berjaya memadamkan kebakaran dan tiada kemalangan jiwa lain dilaporkan dan kes diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan siasatan masih dijalankan pihaknya. – Xklusif