(VIDEO) Mid Valley ditutup sementara waktu, semua pekerja diarah pulang

KUALA LUMPUR 17 Mei – Kebakaran yang berlaku di Kompleks Beli Belah Mid Valley Megamall pagi ini disahkan melibatkan pencawang masuk utama ke bilik transforer Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat KL dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.32 pagi.
View this post on Instagram
“Beberapa buah jentera dengan kekuatan 40 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Jalan Hang Tuah, Seputeh dan Sri Hartamas telah dikerah ke lokasi kejadian.
“Kerja-kerja pemadaman juga sedang giat dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, pihak pengurusan Mid Valley City dalam kenyataannya mengesahkan kejadian dan memaklumkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
“Mid Valley City akan ditutup sehingga dimaklumkan kelak. Kami meminta maaf atas kesulitan yang berlaku dan keselamatan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan.
“Pemilik premis di dalam pusat beli belah juga boleh mengarahkan pekerja untuk pulang ke rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Sementara itu, Golden Screen Cinemas (GSC) Mid Valley KL dalam kenyataan menyatakan semua tayangan di pawagam itu ditanggunghkan sementara kerana kebakaran.
Walaupun pawagam berkenaan tidak terbabit secara langsung dengan kebakaran, GSC bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pengurusan kompleks untuk memastikan keselamatan orang ramai.
“Kami akan memberikan pulangan terhadap semua tiket yang sudah dibeli. Jika anda beli tiket secara dalam talian, anda akan diberi pulangan secara automatik.
“Bagi tiket dibeli di kaunter, sila simpan tiket dan dapatkan pulangan secara manual dalam tempoh tujuh hari.
“Kami kesal dengan sebarang kesulitan. Keselamatan orang ramai adalah keutamaan kami,” kata kenyataan itu. — Xklusif








