Viral

(VIDEO) Pemandu Honda Civic hitam cabut lari lepas rempuh motosikal di Rawang

KUALA LUMPUR 30 Nov – Tular video kejadian langgar lari membabitkan sebuah kereta dan sebuah motosikal terjadi di sebuah kedai runcit di Taman Tun Teja, Rawang, Selangor pada petang semalam.

Pada awalnya, rakaman yang mula tular pada Rabu menunjukkan sebuah kereta jenis Honda Civic FC merempuh seorang penunggang motosikal sehingga tersembam jatuh ke tanah.

Turut dapat dilihat, beberapa orang yang berada di sekitar premis sempat melihat kejadian sebelum situasi menjadi tegang.

Rakaman turut menunjukkan mangsa bergegas bangun dari motosikalnya dan berlari untuk menyelamatkan diri ke arah yang lebih selamat apabila pemandu kenderaan terbabit dilihat seolah-olah nekad mahu melanggar lagi.

Selang beberapa saat, pemandu kereta terbabit berundur ke belakang untuk mengambil ruang sebelum memecut meninggalkan tempat kejadian.

Lebih mengejutkan, suspek turut merempuh seorang mangsa yang lain ketika hendak melarikan diri.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet berharap suspek akan diburu oleh pihak berkuasa dalam masa terdekat.

“Tidak lama lagi kena kutip la tu,” kata Yan Zhiha.

“Moga yang kena langgar tu tak apa-apa. Orang macam ni confirm ada buat salah lain. Sebab ru cabut lari,” kata Faiz Taib.

Setakat berita ini ditulis, belum ada kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button