(VIDEO) Pemilik reda kedai ‘spare part’ terbakar angkara perbuatan khianat di Kapar
Kejadian yang dipercayai berlaku pada 5.50 pagi semalam berjaya dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup.

KUALA LUMPUR 25 Julai – Seorang lelaki terpaksa menanggung kerugian selepas kedai menjual alat ganti kenderaan miliknya terbakar dalam satu kejadian khianat di Kapar, Klang, Selangor.
Kejadian yang dipercayai berlaku pada 5.50 pagi semalam berjaya dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan.
Menerusi video berdurasi 16 saat yang dikongsikan di laman Tik Tok, kelihatan sosok seorang individu mencurah cecair dipercayai minyak tanah di hadapan pintu masuk premis tersebut.
View this post on Instagram
Dia kemudian bertindak menyalakan api dengan menggunakan pemetik api hingga mengakibatkan terjadi letupan yang besar di kedai itu.
Dalam pada itu, seorang individu dipercayai pemilik kedai turut memaklumkan perkara berkenaan dalam satu hantaran di Facebook pada hari yang sama.
“Dugaan aku hari ini, aku terima, kepada yang khianat tak selamat hidup kau,” katanya.
Sementara itu, polis dilaporkan menahan dua lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, S Vijaya Rao berkata, kesemua yang berusia 20 hingga 25 tahun ditahan kira-kira pukul 2 petang di sekitar Jalan Bukit Kapar, Klang selepas polis menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 8.53 pagi.
“Motif kejadian sedang disiasat dan polis akan membuat permohonan reman terhadap kesemua suspek di Mahkamah Klang, esok (Selasa) bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ituuntuk menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara atau mana-mana balai berhampiran. — Xklusif