Viral

(VIDEO) Pensyarah USIM meninggal dunia semasa beri kuliah subuh di Shah Alam

Mohd Soberi disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.55 pagi tadi semasa menyampaikan kuliah Subuh.

KUALA LUMPUR 30 Julai – Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Mohd Soberi Awang meninggal dunia awal pagi tadi semasa menyampaikan kuliah subuh.

Mohd Soberi disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.55 pagi tadi semasa menyampaikan kuliah Subuh di Surau Al-Ittihadiyyah, Seksyen 9, Shah Alam.

Difahamkan Mohd Soberi mengadu sakit dada dalam kuliahnya sebelum rebah dan tidak sedarkan diri selang beberapa minit.

Jemaah yang berada di tempat kejadian turut cuba memberi bantuan kepada mangsa.

Sementara itu, badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan, Aman Palestin turut mengucapkan takziah kepada keluarga Mohd Soberi yang juga Perunding Aman Palestin.

“Salam takziah diucapkan buat ahli keluarga Allahyarham dan kenalan atas kehilangan seorang insan yang banyak memberikan bakti dan jasa buat pembangunan masyarakat Malaysia khususnya dalam menyampaikan ilmu-ilmu mengenai Palestin, Syria dan Yaman.

“Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Mohd Soberi juga merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Jenazah Mohd Soberi akan disolatkan selepas Maghrib di Surau Ittihadiyah sebelum dibawa ke Kemaman, Terengganu. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button