(VIDEO) Penyanyi rock 90an terlibat kemalangan, warga emas maut di Kuantan
Penunggang motosikal disahkan maut di lokasi kejadian.
KUALA LUMPUR 27 Okt. – Seorang maut dalam kemalangan dua kenderaan yang turut melibatkan penyanyi kumpulan rock 1990-an di susur Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) Jalan Kuantan-Maran, di Kuantan, pada Khamis.
Bagaimanapun penyanyi berkenaan tidak cedera manakala penunggang motosikal Yamaha Lagenda Eddy Kusmiran Ambi, 61, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi itu.
View this post on Instagram
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata berdasarkan laporan, kemalangan membabitkan kereta jenis BMW dipandu penyanyi itu dalam perjalanan dari arah bandar menuju ke Rompin.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dipandu mangsa di lorong kiri laluan dipercayai mengubah haluan ke lorong kanan.
“Pemandu kereta cuba mengelak dan menekan brek tetapi terlanggar bahagian belakang motosikal itu. Penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Xklusif