Berita

(VIDEO) Selisih faham punca sekumpulan lelaki bergaduh depan restoran

Lima suspek juga ditahan di empat lokasi berasingan.

KUALA LUMPUR 18 Jan – Selisih faham dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan lelaki di depan sebuah restoran di Bandar Baru Permas Jaya, Johor pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata berikutan itu, pihaknya menahan lima suspek lelaki warga tempatan dalam serbuan di empat lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini, kelmarin dan semalam.

Katanya, laporan polis berhubung kejadian diterima pada jam 2.27 petang kelmarin.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis menahan lima lelaki berusia 17 hingga 43 tahun. Turut dirampas, dua batang kayu rotan dan dua telefon bimbit.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan perselisihan faham antara semua suspek hingga menyebabkan pergaduhan,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Raub berkata, semakan rekod lampau mendapati seorang suspek mempunyai tiga kes jenayah dan dadah.

Bagaimanapun, katanya, ujian saringan air kencing mendapati semua suspek negatif dadah.

“Semua suspek direman sehari dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 39 saat memaparkan sekumpulan lelaki merusuh menggunakan kayu di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Permas Jaya. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button